KOPA 2026 perkukuh reformasi perkhidmatan awam demi rakyat

Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz/Foto JPA

SHAH ALAM, 9 September – Konvensyen Perkhidmatan Awam (KOPA) 2026 menumpukan kepada reformasi menyeluruh perkhidmatan awam selain memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan berkesan kepada rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesediaan merombak peraturan dan sistem sedia ada untuk membolehkan perubahan dasar dan pelaksanaan lebih efektif.
  • Keazaman memastikan setiap inisiatif kerajaan memberi manfaat nyata kepada rakyat melalui pelaksanaan rapi oleh penjawat awam.
  • Menuntut penjawat awam berubah, memperkukuh tata kelola dan menyederhanakan birokrasi lama untuk keberkesanan perkhidmatan.
  • KOPA 2026 anjuran UiTM dan JPA menjadi platform fokus idea baharu, integriti, transformasi digital dan kerjasama rentas sektor.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata reformasi menyeluruh ini termasuk kesediaan untuk melakukan perubahan terhadap peraturan dan sistem sedia ada.

“Ia perlu dilihat daripada pelbagai sudut, khususnya kesediaan dan keinginan kita untuk berubah serta keberanian untuk menambah baik dan merombak peraturan sedia ada.

Kesemua usaha ini adalah untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang terbaik, berkualiti dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian KOPA 2026 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Tambah beliau, usaha reformasi ini penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

“Menjadi hasrat kerajaan pada masa ini agar setiap inisiatif yang dilaksanakan dapat dirasai manfaatnya oleh rakyat. Perkara ini merupakan satu cabaran kepada sektor perkhidmatan awam. Justeru, kita beriltizam untuk memastikan segala yang dihasratkan oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh penjawat awam,” jelas beliau lagi.

Namun perkara ini katanya menuntut kesediaan penjawat awam untuk berubah dan melakukan reformasi secara menyeluruh termasuk dalam aspek tata kelola serta birokrasi yang telah sekian lama diamalkan.

KOPA 2026 anjuran UiTM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dengan kerjasama agensi pusat serta rakan industri menyediakan pelbagai forum dan sesi perkongsian yang menampilkan penceramah daripada pelbagai sektor.

Penganjuran konvensyen itu menjadi platform bagi membincangkan agenda reformasi perkhidmatan awam secara lebih berfokus, inklusif dan berimpak, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan prinsip H.E.M.A.T.

Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk penerokaan idea baharu, pemerkasaan integriti dan akauntabiliti, transformasi digital serta pengukuhan kerjasama rentas sektor bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

KOPA 2026 berlangsung selama dua hari bermula semalam bertemakan ‘Merealisasi Reformasi, Menyantuni Rakyat: Meneraju Perkhidmatan Berintegriti dan Berimpak’.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.