
KUALA LUMPUR, 7 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa beliau pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.
- PDRM menjalankan siasatan mengenai kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Sebanyak 12 laporan polis diterima dan 12 saksi telah dirakam percakapan.
- Rakaman percakapan Abdul Hadi akan diambil dalam tempoh terdekat; orang ramai diminta elak spekulasi dan guna media sosial berhemah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam.
Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
“Setakat ini, sebanyak 12 laporan polis diterima mengenai isu ini dan 12 saksi telah dirakam percakapan.
“Rakaman percakapan Abdul Hadi akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Masyarakat turut digesa supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” ujarnya.