
TEMERLOH, 7 September – Seorang pembantu Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan kekasaran terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Mentakab, Temerloh.
- Suspek hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah kira-kira 8.30 malam semalam.
- Polis mengesan satu video di media sosial memaparkan kekasaran terhadap kanak-kanak di sebuah TASKA.
- Ibu mangsa membuat laporan polis kira-kira 6 petang pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, wanita berusia 25 tahun itu direman bermula hari ini hingga 12 September.
Menurutnya, suspek hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada kira-kira 8.30 malam semalam.
Katanya, polis sebelum itu mengesan satu hantaran video di media sosial yang memaparkan kejadian kekasaran terhadap kanak-kanak berkenaan di sebuah TASKA di Mentakab, Sabtu lalu.
Beliau berkata, laporan polis berkaitan kejadian itu dibuat ibu mangsa berusia 29 tahun pada kira-kira 6 petang hari sama.