
PUTRAJAYA, 4 September – Malaysia bersedia menterjemah hubungan yang semakin erat dengan Macau kepada kerjasama yang praktikal, bermakna dan saling menguntungkan.
- Kedudukan strategik Macau dan Hengqin membuka peluang untuk syarikat Malaysia dan menjadikan Malaysia gerbang ke pasaran ASEAN.
- Perbincangan ketika menerima kunjungan hormat Ketua Eksekutif Macau, Sam Hou Fai, memperkukuh hubungan rasmi kedua pihak.
- Perkukuhkan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, kewangan, sains dan teknologi, pendidikan serta industri konvensyen dan pameran.
- Pemeteraian perjanjian perniagaan diharap memacu kerjasama ekonomi serta memperluas hubungan rakyat termasuk pelancongan halal Tahun Melawat Malaysia 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu selaras semangat Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China.
“Kedudukan strategik Macau dan Hengqin yang terhubung dengan Greater Bay Area berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia.
“Pada masa sama, kedudukan itu boleh memperkukuh peranan Malaysia sebagai gerbang kepada perniagaan Macau untuk meneroka pasaran ASEAN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut memaklumkan, perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Macau (SAR), Sam Hou Fai, yang melakukan lawatan sulung ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Disember 2024.
Jelas Datuk Seri Anwar, pertemuan itu memberi ruang untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kewangan, sains dan teknologi, pendidikan serta industri konvensyen dan pameran.
“Saya turut menyambut baik pemeteraian beberapa perjanjian perniagaan antara syarikat Malaysia dan Macau semalam yang diharap dapat memacu kerjasama ekonomi lebih erat dan luas antara kedua-dua pihak,” menurut hantaran itu.
Pertemuan itu juga menyentuh usaha memperluas hubungan rakyat menerusi pendidikan dan pelancongan, termasuk potensi kerjasama dalam sektor pelancongan halal dan mesra Muslim bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.