
KOTA BHARU, 4 September – Dua lelaki berbasikal maut dilanggar sebuah kereta di Kilometer 18, Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh, di sini pagi tadi.
- Mereka sedang menjalani latihan persediaan untuk kayuhan berbasikal ke Thailand minggu hadapan.
- Zamri Risman dimaklumkan sekitar pukul 10.30 hingga 10.45 pagi dan keluarga terkejut kerana arwah tiada masalah kesihatan.
- Arwah gemar berbasikal bersama kumpulan; jenazah akan dibawa ke Kampung Rupek untuk dikebumikan.
- Ketua Polis mengesahkan laporan; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi tadi, Zamri Rismawadi Mahmat, 50-tahun dan rakannya berusia 40-an maut di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas dipercayai selepas memotong kenderaan lain.
Abang kepada Zamri Rismawadi, Zamri Risman, 52-tahun, berkata dia dimaklumkan berhubung kejadian menimpa adiknya kira-kira pukul 10.45 pagi dan arwah dan rakannya itu sedang melakukan latihan persediaan untuk mengayuh basikal ke Thailand minggu hadapan.
“Pasal dia ada rancangan untuk pergi ke Thailand berbasikal, kalau tidak silap minggu depan. Adik saya memberitahu, tadi dia melakukan regangan sebagai pemanasan badan.
“Kami sekeluarga memang terkejut kerana setahu saya, dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Saya mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.30 pagi, hampir pukul 11 pagi.
“Adik saya yang memaklumkan perkara itu dan turut mendapat makluman daripada orang yang berada di rumah. Nasib baik ada orang yang mengenalinya,” katanya ketika ditemui RTM.
Zamri Risman berkata, arwah adiknya itu memang meminati aktiviti berbasikal dan sentiasa melakukan kayuhan bersama kumpulannya.
Dia juga terkilan tidak dapat berjumpa dengan adiknya kerana baru tiba di Kota Bharu dari Selangor awal pagi tadi.
Zamri Risman yang bekerja di Selangor berkata, dia berhajat untuk menemui adiknya hari ini kerana sudah dua bulan tidak berjumpa.
Namun katanya, tidak menyangka bahawa adiknya maut dalam kemalangan jalan raya. Jenazah Zamri Rismawadi akan dibawa ke rumahnya di Kampung Rupek sebelum dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian. Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.