
ARAU, 3 Sept – Nepal tidak mahu menerima pasukan mencari dan menyelamat dari luar negara, termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), bagi membantu operasi bencana di negara itu.
- Malaysia boleh menghantar bantuan barangan dan keperluan bencana ke Nepal tanpa halangan.
- Mohamed Khaled buat kenyataan itu selepas Program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di UniMAP.
- PALAPES perlu menjadi golongan berilmu khususnya dalam bidang ketenteraan dan celik pertahanan.
- Kepakaran serta kemahiran Pegawai Kadet menyumbang kepada peningkatan pertahanan negara dan agenda Pertahanan Menyeluruh.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendirian itu dibuat Nepal bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih sukar untuk diselaraskan sekiranya terlalu banyak pasukan luar memasuki negara berkenaan.
Katanya, bagaimanapun, Nepal tidak menghalang Malaysia daripada menghantar bantuan barangan dan keperluan bencana yang diperlukan.
“Nepal sudah memberitahu tidak mahukan pasukan (luar). Mungkin kalau banyak sangat pasukan luar masuk, mungkin jadi kelam-kabut. Kemudian akhirnya sukar untuk dikoordinasikan. Jadi atas sebab itulah negara Nepal itu sendiri buat pendirian begitu, tapi pihak mereka tiada halangan sekiranya kita hendak menghantar barang-barang yang mungkin diperlukan,” katanya kepada media selepas Program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan sempena Istiadat Perbarisan Pertauliahan Diraja Pegawai PALAPES Universiti Awam ke-44 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra, di sini.
Dalam perkembangan lain, Dadtuk Seri Mohamed Khaled berkata Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) perlu menjadi golongan masyarakat yang berilmu khususnya dalam bidang ketenteraan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pertahanan negara.
Katanya, kepakaran dan kemahiran yang dikuasai mereka sepanjang menjadi Pegawai Kadet sangat membantu sektor pertahanan negara, selain menyumbang kepada agenda Pertahanan Menyeluruh.
“Mereka menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat yang memang kita nak bangunkan, adanya kecelikan dalam soal pertahanan. Celik pertahanan maknanya bila dia melalui ini semua, dan ketiga sebagai golongan yang menyumbang membantu kita ke arah usaha-usaha untuk kita jayakan pertahanan menyeluruh,” katanya.