
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menganjurkan Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 pada 8 September ini di Kuantan, Pahang bagi memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dan Bumiputera dalam ekosistem pelaburan negara.
- Manfaat ECRL: peningkatan kesalinghubungan buka ruang luas bagi syarikat tempatan berkembang seiring kemasukan pelaburan.
- Galakkan PKS tingkatkan kapasiti pengeluaran, adaptasi teknologi, sertai rantaian bekalan lebih besar dan tembusi pasaran baharu.
- Fokus seminar pada Kerangka Insentif Baharu, peluang berkaitan ECRL, penyertaan ekonomi Bumiputera serta pembangunan ekosistem halal dan ketahanan makanan.
- Sesi Business Clinic sediakan akses terus kepada lebih 15 agensi kerajaan untuk panduan operasi, pematuhan, tenaga kerja, kelulusan dan pelaksanaan projek.
Seminar itu dijangka menghimpunkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat mid-tier, pelabur, pemain industri, institusi kewangan serta agensi kerajaan dari Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata peningkatan kesalinghubungan menerusi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membuka ruang lebih luas kepada syarikat tempatan untuk berkembang seiring kemasukan pelaburan ke wilayah berkenaan.
Menurutnya, PKS dan syarikat tempatan perlu memanfaatkan perkembangan itu untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, mengadaptasi teknologi, menyertai rantaian bekalan industri lebih besar serta menembusi pasaran baharu.
Seminar berkenaan turut memberi tumpuan kepada Kerangka Insentif Baharu, peluang berkaitan ECRL, penyertaan ekonomi Bumiputera serta pembangunan ekosistem halal dan keterjaminan makanan.
Selain itu, sesi Business Clinic akan menyediakan akses terus kepada lebih 15 agensi kerajaan bagi membantu syarikat mendapatkan panduan berkaitan operasi, pematuhan, tenaga kerja, kelulusan serta pelaksanaan projek.