Grafik manusia serlah semangat generasi muda semarak Hari Kebangsaan

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah/Foto RTM

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Persembahan ‘Grafik Manusia’ pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya hari ini menyerlahkan semangat dan komitmen generasi muda dalam menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Setiausaha memuji komitmen peserta yang terus bertenaga walaupun penyertaan kali ini lebih kecil.
  • Cuaca panas terik tidak menghalang peserta; pelajar daripada 36 sekolah tetap memberi persembahan terbaik.
  • Kehadiran lebih 100,000 pengunjung mencerminkan semangat patriotisme, kesatuan dan peluang generasi muda menghayati erti kemerdekaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah memuji komitmen peserta yang terus memberikan persembahan bertenaga dan penuh semangat meskipun jumlah penyertaan kali ini lebih kecil berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, cuaca panas terik juga tidak menghalang peserta daripada memberikan persembahan terbaik di hadapan ribuan pengunjung yang hadir.

“Malah, kita dapat menyaksikan bahawa walaupun berdepan cuaca panas terik, ia tidak sedikit pun menjadi halangan kepada mereka.

“Saya lihat tiada seorang pun yang kelihatan keletihan. Inilah semangat yang ditunjukkan anak-anak muda kita, khususnya para pelajar daripada 36 buah sekolah yang telah memberikan persembahan terbaik buat seluruh rakyat Malaysia. Tahniah,”katanya kepada media hari ini.

Sementara itu, Datuk Abdul Halim berkata kehadiran lebih 100,000 pengunjung pada sambutan kali ini membuktikan semangat patriotisme terus subur dalam jiwa rakyat Malaysia.

Katanya, sambutan yang berlangsung meriah itu turut mencerminkan kesatuan dan kecintaan rakyat terhadap negara, selain memberi peluang kepada generasi muda untuk bersama-sama menghayati erti kemerdekaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.