
KULAI, 29 Ogos – Orang ramai diseru menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, Isnin ini bagi melancarkan perjalanan ekoran kebanyakan laluan akan ditutup.
- Pengangkutan awam disediakan: teksi air percuma, bas ulang-alik, MRT setiap 5 minit dan perkhidmatan di PICC setiap 10 minit.
- Program RIUH Merdeka dan Ekspresi Jalur Gemilang dianjurkan untuk memeriahkan malam ambang dan bulan kebangsaan.
- Kementerian bersama jabatan dan PETRONAS mengagihkan Jalur Gemilang dan magnet percuma; sambutan rakyat sangat menggalakkan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pengangkutan awam disediakan termasuk teksi air percuma.
“Di sana turut disediakan bas ulang-alik. Perkhidmatan di MRT adalah setiap lima minit, manakala di PICC setiap 10 minit. Jadi, untuk urusan ulang-alik, orang ramai tidak perlu risau,” katanya.
Tambah beliau, program RIUH Merdeka turut diatur khas untuk memeriahkan malam ambang Hari Kebangsaan.
Dalam pada itu, Teo memaklumkan, aktiviti bagi menyemarakkan bulan kebangsaan juga semakin rancak menerusi program Ekspresi Jalur Gemilang.
Kementerian Komunikasi bersama-sama Jabatan Penerangan dan PETRONAS mengagihkan Jalur Gemilang dan magnet bendera secara percuma di stesen-stesen minyak terpilih, termasuk Kulai.
Menurutnya, inisiatif dijalankan menerima reaksi positif daripada orang ramai, sekali gus mencerminkan semangat patrotik yang tinggi dalam kalangan mereka.
“Kita lihat apabila kita memberikan Jalur Gemilang dalam bentuk magnet, sambutan daripada rakyat sangat menggalakkan. Inilah suasana yang kita mahu wujudkan.
“Ia bukan sahaja untuk menunjukkan kecintaan dan kesetiaan kita kepada Malaysia, tetapi saya ingin mengambil peluang ini untuk menggalakkan semua orang menzahirkan semangat patriotik dengan cara masing-masing, ” katanya.
Teo berkata demikian semasa menyempurnakan program Ekspresi Jalur Gemilang bersama Pengarah Penerangan Johor, Muhammad Rizal Redzuan, dan
Pengurus Kanan Pejabat Wilayah Tengah dan Utara PETRONAS, Irda Zuliyawaty Zulkifly di Bandar Putra, di sini.