
SEMPORNA, 22 Ogos – Seorang lelaki yang melecur di bahagian di lengan selepas sebuah restoran di sebuah hotel di sini yang terbakar pada Sabtu telah mendapatkan rawatan di Hospital Semporna.
- Restoran separuh kekal berukuran 30 kali 40 kaki terbakar 100 peratus kira-kira pukul 12.47 tengah hari.
- Pasukan bomba tiba lima minit kemudian, operasi pemadaman dari darat (tiga aliran, enam pancutan) dan laut (satu aliran, satu pancutan).
- Bangunan hotel bersebelahan terjejas 20 peratus; operasi melibatkan 29 anggota, kebakaran dikawal 1.47 petang dan padam sepenuhnya 4.11 petang.
Pihak hotel telah membawa mangsa berkenaan ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Zainal Sisian ketika dihubungi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.47 tengah hari itu, sebuah restoran jenis separuh kekal berukuran 30 kali 40 kaki terbakar 100 peratus.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna tiba di lokasi lima minit kemudian dan menjalankan operasi pemadaman dari dua arah, iaitu melalui darat dan laut.
“Pasukan bomba darat menggunakan tiga aliran dengan enam pancutan, manakala Bomba Air Semporna menggunakan satu aliran dan satu pancutan dari laut,” katanya.
Kebakaran turut menyebabkan bangunan hotel bersebelahan terjejas 20 peratus akibat bahang api tersebut.
Operasi membabitkan 29 anggota bomba dan kebakaran berjaya dikawal pada 1.47 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.11 petang.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.