
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kapsul sempena Bulan Kebangsaan akan dimainkan pada waktu tertentu setiap hari di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bermula minggu depan.
- Inisiatif diselaraskan oleh Jabatan Penerangan sebagai pengisian tambahan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
- Bertujuan memberi makna dan pengisian kepada Bulan Kebangsaan serta menerapkan semangat patriotisme dan kenegaraan.
- Sambutan tahun ini tidak hanya tertumpu acara besar, tetapi turut dibawa ke peringkat komuniti melalui program kecil dan sederhana.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diselaraskan Jabatan Penerangan sebagai pengisian tambahan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.
“Mulai minggu hadapan, Jabatan Penerangan akan menyelaraskan di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
“Pada waktu tertentu dalam setiap hari akan dimainkan satu kapsul bagi memberi makna dan pengisian sempena Bulan Kebangsaan”, katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Kenduri Rakyat MADANI di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, hari ini.
Katanya, pendekatan berkenaan bertujuan memberi makna dan pengisian kepada sambutan Bulan Kebangsaan, selain memastikan semangat patriotisme dan kenegaraan dapat diterapkan secara berterusan dalam kalangan penjawat awam serta rakyat.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi memaklumkan, sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini mempunyai kelainan kerana pengisian tidak hanya tertumpu kepada acara berskala besar, sebaliknya turut dibawa ke peringkat komuniti menerusi pelbagai program.
Menurutnya, program berskala kecil atau sederhana mampu membawa makna Bulan Kebangsaan lebih dekat kepada rakyat.