Bebas rasuah, dadah antara ukuran penghayatan kemerdekaan

Datuk Seri Fahmi Fadzil/ RTM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan dadah serta memastikan rakyat menikmati kehidupan yang sihat dan sejahtera perlu menjadi sebahagian daripada penghayatan pada Bulan Kebangsaan tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemerdekaan mesti disertai usaha memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif kerajaan.
  • Program Kenduri Rakyat MADANI menerapkan pendekatan sisipan sempena Bulan Kebangsaan melibatkan agensi dan komuniti setempat.
  • Inisiatif seperti program ini menyemarakkan semangat patriotisme serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kemerdekaan tidak seharusnya sekadar diraikan menerusi sambutan dan acara patriotik, sebaliknya perlu disertai usaha memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif kerajaan.

“Tidak bermakna kita merdeka sekiranya rakyat tidak sihat, tidak bebas daripada dadah, tidak menentang dan memerangi rasuah serta tidak mendapat manfaat daripada pelbagai program yang disediakan,” katanya ketika ditemui media pada Program Kenduri Rakyat MADANI di sini hari ini.

Datuk Seri Fahmi berkata pendekatan itu diterapkan menerusi pelbagai program sisipan sempena Bulan Kebangsaan 2026 termasuk Program Kenduri Rakyat MADANI yang menghimpunkan pelbagai agensi bersama komuniti setempat.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme dan kenegaraan, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.

Program anjuran Jabatan Penerangan itu turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.