74 komuniti nelayan terima pembaharuan permit aktiviti sara diri

Foto RTM

SETIU, 21 Ogos – Seramai 74 komuniti nelayan sungai menerima pembaharuan permit bagi menjalankan aktiviti sara diri di Taman Negeri Setiu Wetlands, Terengganu, tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permit membolehkan komuniti memanfaatkan sumber semula jadi bagi sara hidup seperti lokan, kepah, tiram, ketam, rotan, nipah dan madu lebah.
  • Permit diterima oleh komuniti Kampung Fikri, Kampung Gong Batu dan Kampung Kuala Setiu.
  • Setiap permit dinilai semula setiap tahun berdasarkan pematuhan syarat dan rekod aktiviti untuk memastikan kelestarian ekosistem.

Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu merangkap Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Datuk Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman, berkata permit berkenaan membolehkan komuniti setempat memanfaatkan sumber semula jadi bagi memenuhi keperluan sara hidup.

Beliau berkata, permit tersebut diberikan kepada komuniti dari Kampung Fikri, Kampung Gong Batu dan Kampung Kuala Setiu.

“Bagaimanapun, tujuh lagi komuniti masih dalam proses mendapatkan permit. Kita keluarkan yang sudah rasmi terlebih dahulu dan apabila tujuh lagi itu diluluskan, jumlah keseluruhan akan menjadi 81 komuniti bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Festival Setiu Wetlands 2026 di Taman Negeri Setiu Wetlands, di sini.

Menurutnya, antara sumber semula jadi yang boleh dimanfaatkan termasuk lokan, kepah, kerang, tiram, ketam, rotan, daun nipah dan madu lebah.

Katanya, setiap permit dinilai semula setiap tahun berdasarkan pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan serta rekod aktiviti pemegang permit.

“Langkah ini bagi memastikan sumber alam terus dimanfaatkan oleh komuniti secara terkawal tanpa menjejaskan kelestarian ekosistem Taman Negeri Setiu Wetlands,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.