PRN Melaka: Rundingan kerjasama politik perlu ambil kira manfaat, mudarat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Rundingan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu mengambil kira realiti dan geopolitik tempatan, dan tidak semestinya menggunakan formula yang sama seperti di Johor dan Negeri Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan perlu menilai manfaat dan mudarat untuk memastikan keputusan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dan negeri.
  • Semua rundingan mesti dijalankan dengan jujur, ikhlas dan memegang janji yang telah dibuat.
  • Ahmad Zahid memberi mandat kepada Ketua Menteri Melaka untuk mengadakan rundingan; hasil dibawa ke peringkat nasional untuk diputuskan.
  • Kerjasama BN-PH berjalan lancar di peringkat nasional dengan koordinasi kementerian menerusi pendekatan whole of government untuk kestabilan politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang rundingan perlu melihat aspek manfaat dan mudarat bagi memastikan keputusan yang dicapai memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dan negeri.

“Kita harus melihat kemanfaatan yang lebih daripada mudarat. Dan sebarang perundingan yang akan dilakukan dengan mana-mana pihak atau mana-mana gabungan, ia mesti melihat aspek-aspek itu dan kita harus jujur, ikhlas dan memegang janji yang kita sebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutup Program Amal PDRM dengan Kerjasama Ipoh Superbike serta Ambang Merdeka Ke-69 di sini hari ini.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, beliau telah memberikan mandat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, untuk mengadakan rundingan berkaitan kerjasama menghadapi PRN berkenaan.

“Saya telah memberikan mandat kepada Ketua Menteri Melaka selaku Pengerusi Barisan Nasional dan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka untuk mengadakan rundingan. Dan selanjutnya hasil perundingan itu dibawa ke peringkat nasional untuk kita perhalusi dan kita muktamadkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di peringkat nasional ketika ini berjalan lancar.

Katanya, kerjasama itu bukan sahaja diterjemahkan menerusi mesyuarat Kabinet, malah turut melibatkan penyelarasan antara kementerian melalui pendekatan ‘whole of government’.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan kepentingan negara dan kestabilan politik terus terpelihara.

“Di peringkat nasional, ya. Kerjasama itu bukan hanya terpancar dalam setiap mesyuarat Kabinet, di kalangan kerjasama antara kementerian-kementerian, kita juga telah lakukan koordinasi,” katanya.

Katanya, semua pihak perlu terus memberi keutamaan kepada usaha mewujudkan kerjasama antara pelbagai parti dan gabungan politik demi memastikan kestabilan politik di peringkat nasional dapat dikekalkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.