
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli perniagaan tempatan perlu meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi dan perubahan tingkah laku pengguna bagi memastikan perniagaan kekal berdaya saing di peringkat global.
- Elakkan keengganan berubah; bergantung pada pendekatan konvensional menjejaskan daya saing industri tempatan.
- Perkembangan AI dan teknologi mengubah landskap perniagaan serta cara pengguna membuat pilihan, menuntut organisasi nilai semula pendekatan.
- Keupayaan menyesuaikan diri penting untuk memanfaatkan peluang baharu dan kekal relevan dalam pasaran global.
- WMS Malaysia 2026 jadi platform belajar daripada pakar praktikal, peserta boleh bawa pulang dan laksanakan penyelesaian terbukti.
Ahli Lembaga Penasihat Kotler Impact Asia, Datuk Dr. Faridah Hanim Haron berkata, keengganan untuk berubah dan terus bergantung kepada pendekatan konvensional boleh menjadi antara jurang yang menjejaskan daya saing industri tempatan.
“Kerana mereka tidak adaptif. Bila kita tidak adaptif, maknanya kita masih lagi rasa cara kita buat bisnes cara lama sangat sesuai dan sangat berkesan. Jadi, kita tidak boleh terus membawa cara yang sama,” katanya yang ditemui selepas menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia disini.
Beliau berkata, perkembangan pesat AI dan teknologi kini mengubah landskap perniagaan serta cara pengguna membuat pilihan, sekali gus menuntut organisasi menilai semula pendekatan mereka agar kekal relevan.
Menurutnya, keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan juga penting bagi membolehkan pemain industri tempatan memanfaatkan peluang baharu dan bersaing dalam pasaran global.
Dalam pada itu, World Marketing Summit (WMS) Malaysia 2026 yang kembali ke Malaysia selepas 13 tahun bakal menjadi platform untuk pemain industri mendapatkan pengetahuan dan pengalaman secara langsung daripada lebih 30 pakar global.
Faridah berkata, perkongsian daripada pakar yang mempunyai pengalaman sebenar dalam bidang masing-masing membolehkan peserta memperoleh pengetahuan yang boleh diterapkan terus ke dalam organisasi.
“Mereka akan tahu perkara-perkara terbaru daripada orang yang betul-betul melakukannya. Ini bukan daripada pendidik sahaja atau ahli akademik sahaja. Ini daripada orang yang betul-betul melakukannya, orang yang mempunyai penyelesaian terbukti untuk dikongsi dengan semua orang.
“Jadi, apa yang didengar boleh dibawa pulang dan dilaksanakan”, ujar beliau.
WMS Malaysia 2026 anjuran Kotler Impact Asia akan berlangsung pada 4 dan 5 November ini di Kuala Lumpur Convention Centre.
Persidangan itu akan mengetengahkan perkembangan pemasaran generasi baharu, AI, teknologi, kepimpinan dan inovasi, selain membincangkan bagaimana teknologi mengubah cara organisasi memahami pelanggan, membina jenama, membuat keputusan serta meneroka pasaran baharu.