Mangsa kebakaran rumah atas air terima BWI, sumbangan PM

Datuk Mustapha Sakmud (berbaju oren, tengah) meninjau kawasan kebakaran di Kampung Pulau Nunuyan Laut/ Foto RTM

SANDAKAN, 20 Ogos – Seramai 28 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Pulau Nunuyan Laut, di sini menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 serta sumbangan Perdana Menteri RM500 setiap seorang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri arah MPS, Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan agensi kenal pasti keperluan keluarga terjejas untuk dikemukakan kepada ICU.
  • Agensi diminta meneliti keperluan membantu mangsa dan segera baiki infrastruktur asas termasuk jeti untuk kegunaan murid ke sekolah.
  • MPS akan berbincang dengan dua pemilik tanah untuk menempatkan penduduk terjejas; keluarga masih berlindung di PPS tanpa kecederaan.

Bantuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri berkenaan disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud ketika mengadakan lawatan ke kampung berkenaan, pada petang Khamis.

Datuk Mustapha ketika ditemui media berkata telah mengarahkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan agensi berkaitan mengenal pasti keperluan keluarga terjejas untuk dikemukakan kepada ICU.

“Agensi berkaitan diminta meneliti keperluan yang boleh membantu mangsa kebakaran dan infrastruktur asas yang terjejas perlu dibaiki segera termasuk melibatkan jeti bagi kegunaan dan keperluan murid untuk ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Presiden MPS, Datuk Walter Kenson berkata perbincangan akan dilakukan bersama dua pemilik tanah bagi menempatkan penduduk terjejas.

Seramai 28 keluarga membabitkan 108 penduduk rumah atas air yang terjejas dalam kebakaran semalam masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Al-Fatah, Kampung Pulau Nunuyan Laut.

Dalam kejadian pada pukul 3:30 pagi, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.