LA28: PKBM mahu KBS, MSN selaras perancangan Azizulhasni

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap penyelarasan strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) dapat dipertimbangkan bagi merangka perancangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancangan awal perlu kerana kelayakan memerlukan pengumpulan mata pada Kejohanan Dunia Trek selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
  • PKBM mohon pertimbangan khas atau fleksibiliti dalam garis panduan Road to Gold supaya perancangan Azizulhasni dapat dimulakan lebih awal.
  • Kepastian bentuk sokongan penting bagi atlet merangka latihan, penyertaan kejohanan serta urus komitmen penaja dan keluarga; PKBM sedia bekerjasama.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, berkata perancangan awal amat penting memandangkan proses kelayakan ke LA28 memerlukan persediaan rapi, termasuk pengumpulan mata kelayakan pada Kejohanan Dunia Trek di Shanghai yang dijadualkan berlangsung selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Menurutnya, meskipun penyelaras program Road to Gold (RTG) mempunyai garis panduan penilaian selepas tamat Sukan Asia, PKBM berpandangan perbincangan mengenai perancangan Datuk Azizulhasni perlu dimulakan lebih awal bagi memastikan kesinambungan prestasi atlet berusia 38 tahun itu.

“Kami amat menghormati struktur dan dasar yang ditetapkan oleh jawatankuasa RTG.

“Namun, melihat kepada faktor masa dan kepentingan teknikal kelayakan, PKBM berpendapat satu pertimbangan khas atau fleksibiliti wajar diberikan bagi memastikan perancangan Datuk Azizulhasni dapat disusun dengan lebih efisien,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia berkata, kepastian mengenai bentuk sokongan terhadap Datuk Azizulhasni akan membantu atlet itu merangka program latihan, penyertaan dalam kejohanan serta mengurus komitmen bersama penaja dan keluarga dengan lebih teratur.

Beliau berkata PKBM kekal yakin dengan kemampuan Datuk Azizulhasni yang terbukti masih kompetitif di peringkat global dan merupakan antara sandaran utama pingat buat Malaysia.

“Matlamat kami untuk memastikan atlet negara mempunyai ekosistem sokongan yang jelas bagi membawa cabaran Malaysia.

“Datuk Azizulhasni telah membuktikan kualitinya dan kami di PKBM sentiasa bersedia bekerjasama dengan KBS serta MSN untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar demi kepentingan sukan negara,” katanya.

Sehubungan itu, PKBM berharap perbincangan secara harmoni bersama semua pihak berkepentingan dapat menghasilkan keputusan positif sebelum bermulanya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus memastikan persiapan Datuk Azizulhasni ke LA28 dapat dirancang dengan lebih tersusun dan berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.