Keyakinan pendeposit Terengganu terhadap TH kekal kukuh

Foto Fail TH

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Keyakinan masyarakat Terengganu terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) kekal kukuh, didorong pengalaman positif dalam urusan simpanan serta pengendalian jemaah haji.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rekod prestasi dan mutu perkhidmatan menjadi faktor utama kepercayaan pendeposit terhadap TH.
  • Aplikasi THiJARI memudahkan urusan simpanan, pemindahan, pendaftaran dan semakan tawaran haji secara dalam talian.
  • Pengalaman positif jemaah sejak 1993 dan layanan mesra petugas menguatkan keyakinan individu serta keluarga.

Bagi pendeposit, rekod prestasi, mutu perkhidmatan dan kemudahan digital menjadi antara faktor yang terus mengukuhkan kepercayaan terhadap institusi itu.

Pendeposit, Ahmad Irfan Arief Mohd Azam berkata, sistem TH yang semakin sistematik memudahkan urusan pengguna tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan di kaunter atau kiosk.

“Saya rasa selamat dengan TH. Sistemnya sangat sistematik dan sekarang ada aplikasi THiJARI yang memudahkan pengguna.

“Kadang-kadang kita tidak perlu pergi ke kiosk untuk mengemas kini maklumat. Dari segi pengurusan pula, sejak tiba di lapangan terbang sehingga berada di Tanah Suci, semuanya berjalan lancar.

“Petugas juga melayan kami dengan baik dan mengambil berat walaupun ketika kita sakit di sana,” katanya.

Bagi Mok Esah pula, pengalaman menunaikan haji bersama TH sejak 1993 menjadi asas kepada keyakinannya terhadap institusi itu.

“Alhamdulillah, tidak ada masalah bagi saya. Saya pergi menunaikan haji pada 1993 dengan Tabung Haji dan saya memang yakin,” katanya.

Sementara itu, Amir Haziqrashdan Suhaidi berkata, pengalaman ahli keluarganya turut memberi gambaran positif mengenai mutu layanan dan perkhidmatan TH.

“Hampir semua ahli keluarga saya merupakan pendeposit Tabung Haji dan mereka memberikan maklum balas yang baik dari segi layanan, perkhidmatan serta urusan di Tanah Suci.

“Jadi saya sendiri memang amat yakin dengan Tabung Haji,” katanya.

Kemudahan digital THiJARI turut membantu memudahkan urusan simpanan, pemindahan wang, pendaftaran serta semakan tawaran haji secara dalam talian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.