
SINTOK, 18 Ogos – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) menyambut baik hasrat Kerajaan MADANI dalam meneruskan usaha reformasi perundangan dan tadbir urus yang lebih progresif, khususnya dalam memperkukuh autonomi serta kebebasan institusi pengajian tinggi.
- MPP UUM sokong cadangan pemansuhan AUKU; ia antara tuntutan lama masyarakat sivil dan gerakan mahasiswa.
- Reformasi mesti memastikan autonomi, kebebasan akademik, ketelusan dan budaya semak imbang diterapkan dalam pentadbiran institusi pengajian tinggi.
- MPP UUM sedia terlibat; pemansuhan bukan noktah tetapi permulaan, perlu diikuti mekanisme demokratik, telus dan akauntabiliti.
Ia termasuk cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata usaha pemansuhan AUKU merupakan antara tuntutan yang sekian lama diperjuangkan oleh masyarakat sivil dan gerakan mahasiswa yang menginginkan perubahan terhadap landskap institusi pengajian tinggi negara.
Beliau berkata, reformasi itu penting bagi memastikan prinsip tadbir urus yang baik, kebebasan akademik, autonomi mahasiswa, ketelusan serta budaya semak dan imbang terus diperkasakan dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, reformasi perundangan perlu diteruskan selaras dengan perubahan zaman dan cabaran tadbir urus semasa, khususnya dalam memastikan tadbir urus berintegriti, lantikan yang telus dan akauntabiliti dalam kalangan pentadbir universiti.
“Dalam konteks pemansuhan AUKU, reformasi tidak seharusnya berhenti pada penghapusan sesuatu akta semata-mata.
“Perkara yang lebih penting ialah memastikan mekanisme pentadbiran yang menggantikan kerangka sedia ada benar-benar lebih demokratik, telus dan berakauntabiliti,” Katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, MPP UUM turut menyambut baik hasrat Kerajaan MADANI untuk membawa perubahan terhadap kerangka perundangan institusi pengajian tinggi negara.
Namun, pemansuhan AUKU bukanlah noktah kepada reformasi, ia merupakan permulaan kepada reformasi yang lebih besar.
“Kita tidak seharusnya sekadar menghapuskan undang-undang lama tanpa membina mekanisme yang lebih baik.
“Apa yang diperlukan ialah satu kerangka baharu yang memastikan kuasa tidak tertumpu, keputusan dapat dipertanggungjawabkan dan warga universiti mempunyai ruang untuk mengambil bahagian dalam menentukan masa depan institusi mereka.
“Jika AUKU dimansuhkan, jangan sekadar mansuhkan akta, mansuhkan juga budaya kuasa tanpa semak dan imbang,” katanya lagi.
MPP UUM bersedia untuk terus menjadi sebahagian daripada proses reformasi ini dan menyeru agar suara mahasiswa diberikan tempat yang sewajarnya dalam pembentukan masa depan institusi pengajian tinggi Malaysia.