Dua lagi juruterbang Air India gagal saringan dadah, digantung tugas

Foto Reuters

NEW DELHI, 17 Ogos – Dua lagi juruterbang Air India gagal dalam ujian saringan awal dadah mandatori yang diarahkan oleh syarikat penerbangan itu berikutan insiden gelora di udara membabitkan penerbangan Phuket-New Delhi yang menyebabkan kecederaan, menurut beberapa laporan media tempatan pada Isnin, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua juruterbang digantung tugas sehingga keputusan ujian pengesahan diperoleh.
  • Ujian pengesahan dijalankan untuk tentukan jika positif disebabkan bahan psikoaktif atau ubat.
  • Kira-kira 400 juruterbang telah menjalani saringan mandatori setakat ini.
  • SOP baharu diperkenal selepas juruterbang utama gagal ujian; marijuana dikesan, dan 24 penumpang cedera akibat gelora.

Kedua-dua juruterbang berkenaan dilaporkan telah digantung daripada tugas penerbangan.

“Dua lagi juruterbang Air India gagal dalam saringan awal dadah syarikat penerbangan itu, dengan ujian pengesahan kini sedang dijalankan bagi menentukan sama ada keputusan itu disebabkan oleh bahan psikoaktif atau ubat-ubatan yang mungkin diambil oleh mereka,” kata saluran berita televisyen tempatan, News18.

“Kedua-dua juruterbang itu telah digantung tugas sebagai langkah berjaga-jaga dan tidak akan dibenarkan terbang sehingga keputusan ujian akhir diperoleh, ” katanya lagi.

Menurut saluran berita itu, kira-kira 400 juruterbang Air India telah menjalani ujian setakat ini sebagai sebahagian daripada keperluan saringan mandatori yang dilancarkan oleh syarikat penerbangan milik Tata itu.

Syarikat penerbangan berkenaan telah mengarahkan semua juruterbangnya menjalani ujian dadah sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) baharu selepas juruterbang utama penerbangan Phuket-New Delhi gagal dalam dua ujian air kencing yang dimintanya apabila pesawat mendarat. Marijuana telah dikesan dalam sistem badannya.

Pada 4 Ogos, seramai 24 orang di dalam pesawat Air India dari Phuket, Thailand ke New Delhi tercedera selepas mengalami gelora udara. Pesawat berkenaan mengalami penurunan ketinggian kira-kira 91.4 meter, sekali gus mencetuskan cemas dalam kalangan penumpang.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.