Pemansuhan AUKU: Buka ruang demokrasi kampus lebih matang

Foto RTM

KUALA LUMPUR , 16 Ogos – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilihat membuka lembaran baharu demokrasi kampus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemansuhan AUKU perlu difahami bukan sebagai lesen tanpa had; mahasiswa mesti bertanggungjawab dan mempertahankan fakta.
  • Universiti mesti bergerak dari kawalan ke pembimbingan, dengan peraturan jelas bagi kebebasan bertanggungjawab.
  • Tingkatkan literasi media dan digital mahasiswa supaya mereka dapat menilai maklumat, membezakan fakta dan pandangan.
  • Ukuran kejayaan reformasi ialah sejauh mana suara mahasiswa mempengaruhi proses membuat keputusan kampus.

Namun kebebasan itu perlu hadir bersama tanggungjawab, pendidikan dan kuasa membuat keputusan yang rasional.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata pemansuhan AUKU tidak seharusnya dianggap sebagai lesen untuk mahasiswa bertindak tanpa batas, sebaliknya menjadi peluang membina budaya demokrasi kampus yang lebih matang.

“Pemansuhan AUKU ini perlu difahami sebagai perluasan ruang demokrasi mahasiswa, namun ia bukan cek kosong yang memberikan mahasiswa kebebasan tanpa batas.

“Kita perlu mendidik mahasiswa bahawa kebebasan bersuara bukan saja bermaksud berani menyatakan pandangan, tetapi juga bersedia mempertahankan fakta dan bertanggungjawab terhadap apa yang disampaikan,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, beliau turut melihat pendekatan pengurusan universiti juga perlu berubah daripada berasaskan kawalan kepada pendekatan membimbing, dengan peraturan yang jelas dan munasabah bagi memastikan kebebasan mahasiswa dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Katanya, usaha memperkukuh demokrasi kampus turut perlu disokong dengan peningkatan literasi media dan digital dalam kalangan mahasiswa supaya mereka mampu menilai maklumat, membezakan fakta dan pandangan serta mengelakkan penyalahgunaan ruang kebebasan bersuara.

Tambahnya, ukuran sebenar reformasi pendidikan tinggi bukan hanya terletak pada sejauh mana kebebasan bersuara diberikan, tetapi sejauh mana suara mahasiswa mampu mempengaruhi proses membuat keputusan di kampus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.