
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Hampir dua pertiga graduan diploma AgriTVET tidak bekerja dalam bidang yang memerlukan kemahiran tinggi, menegaskan keperluan untuk memperkukuh padanan latihan dengan keperluan pasaran kerja.
- Perlu perkasakan padanan kemahiran AgriTVET di peringkat diploma untuk sediakan graduan ke pekerjaan berkemahiran tinggi.
- Laraskan program AgriTVET mengikut keperluan dan potensi negeri, dengan tumpuan kepada kawasan berpermintaan tinggi.
- Nilaikan kejayaan AgriTVET berdasarkan hasil sektor pertanian: keuntungan ladang, kemampanan perniagaan dan perkembangan pendapatan graduan jangka panjang.
- Wujudkan rangka sokongan terstruktur dan kerjasama industri untuk modal, tanah, akses pasaran, penempatan serta program perantisan.
Kajian PNB Research Institute (PNBRI) berdasarkan rekod graduan AgriTVET Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sepanjang 7 tahun menunjukkan padanan kemahiran secara keseluruhannya lebih baik pada peringkat sijil.
Hanya sekitar 10 hingga 20 peratus graduan AgriTVET peringkat sijil berada dalam pekerjaan berkemahiran rendah, membuktikan program berkenaan mempunyai tahap kerelevanan yang tinggi untuk memenuhi keperluan pekerjaan separa mahir.
”Bagaimanapun, isu ketidakpadanan kemahiran menjadi lebih ketara pada peringkat diploma. Keadaan berkenaan menandakan keperluan untuk memperkukuh kerelevanan latihan AgriTVET bagi mempersiapkan graduan untuk pekerjaan berkemahiran tinggi,” jelas PNBRI dalam kajian bertajuk ‘Graduate Outcomes of Agricultural TVET in Malaysia’.
Sementara itu, kadar kebolehpasaran graduan AgriTVET menunjukkan peningkatan ketara, daripada 61 peratus kepada 76 peratus antara 2018 hingga 2024.
Namun, kadar tersebut masih lebih rendah berbanding purata kebolehpasaran TVET nasional sebanyak 95 peratus.
PNBRI berkata, perbezaan itu tidak semestinya menunjukkan kualiti latihan AgriTVET yang lebih rendah kerana struktur kerjaya sektor pertanian adalah berbeza berbanding sektor lain.
Ini kerana lebih ramai graduan pertanian memilih bekerja sendiri, termasuk dalam bidang keusahawanan, pekerjaan gig dan perniagaan keluarga.
Bagi memperkukuh laluan kerjaya graduan, kajian itu mencadangkan enam hala tuju pengukuhan dasar.
Antaranya, pengembangan program AgriTVET yang disesuaikan mengikut keperluan dan potensi setiap negeri, termasuk memberi tumpuan kepada negeri yang mempunyai permintaan tinggi.
”Pada masa sama, kejayaan AgriTVET disaran dinilai berdasarkan hasil yang lebih relevan dengan sektor pertanian, bukan kadar pekerjaan semata-mata, termasuk keuntungan ladang, kemampanan perniagaan serta perkembangan pendapatan graduan dalam tempoh lebih panjang.
Bagi menggalakkan lebih ramai graduan menceburi usahawan tani, satu rangka sokongan yang lebih tersusun turut dicadangkan bagi mengurangkan risiko pada peringkat awal, khususnya dalam mendapatkan modal, tanah dan akses pasaran,” tambah PNBRI.
Turut dicadangkan, rangka kerja sokongan graduan AgriTVET yang berstruktur untuk memudahkan akses kepada modal, tanah dan akses pasaran, menjadikan perusahaan pertanian laluan yang lebih berdaya maju selepas tamat pengajian dan kurang berisiko tinggi.
Selain itu, kerjasama lebih erat dengan syarikat tempatan dan multinasional dalam sektor makanan dan agri-industri juga disarankan bagi menyediakan penempatan, program perantisan serta laluan penyerapan graduan ke dalam sektor berkenaan.