
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menggantung serta-merta tugas seorang pekerjanya susulan dakwaan salah laku gangguan seksual terhadap sekurang-kurangnya lapan pelajar di sebuah Institusi Pendidikan MARA (IPMa).
- Pengerusi berkata siasatan menyeluruh perlu dilakukan tanpa gangguan.
- Perkara terbongkar selepas pelajar mengadu terus kepada beliau; beliau arah pengurusan ambil tindakan segera.
- Beliau galak pelajar membuat laporan polis kerana ia melibatkan kes jenayah; beliau pelik pelajar lebih berani mengadu kepadanya.
- MARA tidak akan berkompromi dengan perilaku songsang dan akan ambil tindakan tegas termasuk buang kerja; jangan takut buat laporan.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan tanpa sebarang gangguan daripada pihak yang terlibat.
Beliau perkara itu terbongkar selepas menerima mesej secara terus daripada beberapa pelajar mendakwa menjadi mangsa, sebelum mengarahkan pengurusan MARA mengambil tindakan segera.
“Puas saya memujuk mereka agar buat juga laporan polis kerana ia membabitkan kes jenayah. Saya pelik pelajar tersebut lebih berani mengadu terus kepada saya berbanding pihak pengurusan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata MARA tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang perilaku songsang dan memberi jaminan tiada kes akan disorokkan atau didiamkan atas alasan menjaga nama baik institusi.
“Jangan takut buat laporan atas sebarang salah laku, terutamanya gangguan seksual. MARA tidak sesekali akan berkompromi perilaku songsang dan akan mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja pihak yang terlibat,” katanya.- BERNAMA