
PETALING JAYA, 14 Ogos – Langkah lebih proaktif perlu diambil bagi meningkatkan keupayaan untuk mengenalpasti cabaran khususnya dalam menghadapi era kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI).
- Kerajaan perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada proaktif dalam menangani perkembangan pesat teknologi AI.
- Sediakan dasar dan rang undang-undang lebih awal supaya tindakan tidak tertangguh apabila isu AI timbul.
- Gunakan pendekatan prediktif untuk menjangka cabaran, membina ekosistem AI yang lebih selamat dan bersedia.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berpandangan pendekatan kerajaan kini perlu beralih daripada bersifat reaktif kepada lebih proaktif; mengambil kira teknologi AI yang berkembang pada kadar yang sangat pantas.
Jelasnya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan kerajaan tidak hanya bertindak selepas sesuatu isu berlaku, sebaliknya bersedia lebih awal dengan langkah penyelesaian dan dasar yang bersesuaian.
“Secara reaktif maksudnya masalah berlaku, kita lihat, kemudian kita cari penyelesaiannya. Masalahnya, ini mengambil masa. Seperti semua orang tahu, polisi itu memerlukan input daripada pihak tertentu dan tindakan untuk membentangkan rang undang-undang itu juga kompleks.
Jadi, soal bagaimana kita lihat teknologi berkembang dengan pesat dan bergerak dengan sangat cepat terutamanya AI. Jadi mungkin tidak ada masa untuk kita bertindak balas terhadap masalah yang berlaku. Jadi, kita lihat bagaimana kita boleh bertindak atau mengambil langkah sebelum berlaku masalah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan AI-Ready Malaysia Summit 2026 di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Gobind berkata tindakan lebih prediktif dan berpandangan ke hadapan juga penting untuk menjangkakan sebarang cabaran, sekali gus, mewujudkan sebuah negara yang bersedia mengadaptasi AI dalam ekosistem yang lebih selamat.
“Kita kena lihat kepada apakah sebenarnya masalah yang bakal kita hadapi. Jadi, ini adalah technology predictive.
Kita boleh lihat ke depan dan dalam keadaan itu dapat memberikan kita nasihat supaya kita mewujudkan Rang Undang-Undang, polisi atau tindak balas sebelum berlaku masalah tersebut. Jadi bila berlaku masalah itu, kita bersedia,” tambahnya.