
JAKARTA, 14 Ogos – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Jumaat berkata, bekalan makanan negara itu terjamin, dengan tahap sara diri dicapai bagi lapan komoditi makanan, meskipun berdepan risiko cuaca ekstrem tahun ini.
- Tekankan kemandirian makanan, kurangkan kebergantungan import hadapi gangguan rantaian bekalan global.
- Akui masih berdepan masalah; usaha sudah menunjukkan hasil tetapi belum semua janji ditunaikan.
- Yakin capai sasaran pertumbuhan KDNK 6% menjelang akhir tahun melalui pelaburan dan peluang pekerjaan.
- Tekankan kawalan ketat sektor utama: bantah perlombongan bijih timah haram dan susun semula syarikat milik negara.
Menurut beliau, dalam menghadapi gangguan rantaian bekalan global, Indonesia perlu mampu berdikari menerusi usaha mencapai sara diri dan tidak boleh bergantung kepada bekalan dari luar sekiranya keadaan global bertambah buruk.
Beliau menjadikan usaha mencapai sara diri dalam sektor makanan sebagai keutamaan utama pentadbirannya, dengan mengurangkan kebergantungan kepada import sebagai langkah penting bagi menjamin keselamatan makanan Indonesia.
Dalam ucapan bersempena Hari Kemerdekaan Indonesia, Prabowo mengakui negara itu masih berdepan masalah, namun usaha untuk menyelesaikannya sudah mula menunjukkan hasil.
“Saya belum boleh mengatakan bahawa semua masalah negara telah diselesaikan atau setiap janji yang saya buat telah ditunaikan. Belum,” katanya kepada Parlimen.
Dalam pada itu, beliau yakin Indonesia mampu mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus menjelang akhir tahun ini, dengan pelaburan di Indonesia akan terus berkembang, sekali gus membantu mewujudkan peluang pekerjaan
Prabowo turut menekankan kawalan lebih ketat terhadap sektor utama lain, termasuk tindakan membanteras perlombongan bijih timah secara haram, serta penyusunan semula syarikat milik negara.
Bekas komander pasukan khas itu memegang jawatan presiden pada Oktober 2024 selepas kemenangan besar dalam pilihan raya, berlandaskan janji untuk membanteras rasuah, meningkatkan pertumbuhan ekonomi daripada lima peratus kepada lapan peratus, serta menyediakan makanan percuma kepada jutaan kanak-kanak.
Namun, pentadbirannya berdepan pelbagai cabaran tahun ini termasuk kejatuhan nilai rupiah dan prestasi pasaran saham yang kurang memberangsangkan, selain kebimbangan mengenai perbelanjaan kerajaan yang berlebihan, serta kebebasan bank pusat.
Program makanan percuma yang menjadi dasar utama pentadbirannya turut terjejas akibat pemotongan belanjawan dan dakwaan salah urus. -REUTERS