Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang utama, ASEAN menjelang pengumuman KDNK suku kedua

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang utama dan ASEAN menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026 hari ini, kata ahli ekonomi.

RINGKASAN BERITA AI
  • KDNK suku kedua dijangka berkembang 5.8 hingga 5.9 peratus, disokong oleh sektor pembuatan dan perlombongan.
  • Jika KDNK melebihi anggaran, ia akan memberi impak positif kepada ringgit, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat.
  • Indeks Dolar AS turun 0.05 peratus selepas IHP AS rendah, mengurangkan peluang kenaikan kadar faedah Fed.
  • Ringgit diniagakan bercampur-campur, mengukuh berbanding yen, pound, dolar Singapura dan baht, tetapi lemah berbanding euro.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0835/0895 berbanding dolar AS daripada 4.0850/0890 semasa ditutup semalam.

Anggaran konsensus menunjukkan bahawa KDNK Malaysia bagi suku kedua dijangka berkembang sebanyak 5.8 hingga 5.9 peratus, disokong oleh prestasi sektor pembuatan dan perlombongan yang kukuh.

“Jika angkanya melebihi anggaran, ini akan memberi impak positif kepada ringgit,” kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) menurun sebanyak 0.05 peratus kepada 99.960 mata berikutan Indeks Harga Pengeluar (IHP) Amerika Syarikat (AS) yang rendah, akan mengurangkan peluang kenaikan kadar faedah pada September.

Katanya IHP pada Julai dicatatkan pada 4.7 peratus berbanding 5.0 peratus manakala IHP teras turut sederhana kepada 4.2 peratus daripada 4.7 peratus.

“Data pekerjaan (AS) yang lemah dan inflasi sederhana menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) akan cenderung untuk mengekalkan Kadar Dana Fed yang stabil apabila ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bersidang semula untuk mesyuarat pada 15 hingga 17 Sept ini.

“Oleh itu, ini boleh menjadi positif untuk ringgit kerana perbezaan kadar faedah yang kekal tidak berubah,” katanya.

Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5608/5648 daripada 2.5634/5660 semasa ditutup pada Khamis dan naik berbanding pound kepada 5.5086/5167 daripada 5.5119/5173 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding euro kepada 4.7099/7168 daripada 4.7120/7167.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1895/1944 daripada 3.1912/1945 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3086/3326 daripada 12.3239/3412 semasa ditutup pada Khamis.

Mata wang tempatan berubah sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.65/6.67 daripada 6.66/6.67 dan mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 228.4/228.8.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.