Tanah runtuh di Mumbai ragut tujuh nyawa

Tanah runtuh di kawasan perumahan di kawasan Chirag Nagar, Mumbai / Foto REUTERS

MUMBAI, 13 Ogos – Tujuh orang maut termasuk kanak-kanak, manakala tujuh lagi cedera selepas tanah runtuh akibat hujan lebat menghempap beberapa rumah di kawasan Chirag Nagar, Mumbai pada awal Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan penyelamat masih menggali runtuhan mencari mangsa yang dipercayai masih tertimbus.
  • Tanah, batu dan runtuhan meluncur dari lereng bukit lalu menghempap beberapa rumah di Gaushiya Chawl, Ashok Nagar.
  • Usaha mencari sukar kerana lorong sempit; NDRF, polis dan penduduk menggunakan tangan mengalihkan runtuhan.
  • Polis memindahkan kira-kira 50 keluarga; Datuk Bandar umum bantuan 400,000 rupee untuk keluarga mangsa maut dan 50,000 rupee untuk rawatan.

Pasukan penyelamat masih menggali runtuhan bagi mencari sekurang-kurangnya seorang mangsa yang dipercayai masih terperangkap.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi, di Gaushiya Chawl, Ashok Nagar, apabila tanah, batu dan runtuhan meluncur dari lereng bukit lalu menghempap beberapa rumah.

Bagi mencari mangsa tertimbus, anggota Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), polis dan penduduk menggunakan tangan untuk mengalihkan runtuhan di lorong sempit.

Usaha mencari mangsa berdepan kesukaran kerana lorong di kawasan perumahan itu terlalu sempit sehingga jentera berat tidak dapat menghampiri kawasan runtuhan.

Polis turut memindahkan kira-kira 50 keluarga dari rumah yang dikenal pasti berisiko sebagai langkah keselamatan.

Datuk Bandar Mumbai, Ritu Tawde, yang melawat lokasi kejadian mengumumkan bantuan 400,000 rupee (kira-kira RM19,000) kepada keluarga setiap mangsa yang maut.

Bantuan sebanyak 50,000 rupee (kira-kira RM2,400) turut diberikan bagi menampung kos rawatan setiap mangsa yang cedera.

Hujan monsun lebat melanda Mumbai sejak beberapa minggu lalu sehingga menyebabkan banjir dan gangguan pengangkutan.

Hujan lebat berterusan turut dijangka berlaku di beberapa kawasan di sebelah barat negara tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.