24 peserta sertai Kejohanan eSukan Angkasapuri

Kejohanan membabitkan penyertaan RTM, JAKIM, Astro Arena, Belia 4B dan Widad Group/Foto IPPTAR

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Seramai 24 peserta yang terdiri daripada pengamal media menyertai Angkasapuri eFootball Challenge 2026 yang berlangsung di Menara Angkasapuri, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan anjuran RTM melalui Kelab eSport Angkasapuri bersama IPPTAR, melibatkan lima organisasi termasuk JAKIM dan Astro Arena.
  • Acara dijadikan platform mengeratkan hubungan warga agensi, menggalakkan kerjasama serta dirancang edisi kedua dalam dua hingga tiga bulan.
  • Peserta dibahagikan lapan kumpulan sebelum pusingan kalah mati; hadiah termasuk Piala Pusingan Ketua Pengarah, wang tunai, piala, hamper dan sijil.

Kejohanan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Kelab eSport Angkasapuri dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sosial Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu menghimpunkan peserta daripada lima organisasi.

Kejohanan itu membabitkan penyertaan RTM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Astro Arena, Belia 4B dan Widad Group.

Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sosial IPPTAR, Rohaizulfarridz Salleh berkata, penganjuran eSukan menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara warga agensi di Angkasapuri Kota Media.

“Kita memilih eSukan kerana dalam masa yang singkat, kita dapat bersama-sama dalam kekangan kerja seharian dan juga masa dengan keluarga. Pemilihan eSukan ini paling tepat untuk kita berkumpul, bersukan dan mengeratkan hubungan,” katanya.

Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sosial IPPTAR, Rohaizulfarridz Salleh (tengah) bersama peserta Kejohanan Angkasapuri eFootball Challenge 2026/Foto IPPTAR

Beliau berkata demikian selepas Angkasapuri eFootball Challenge 2026 Piala Pusingan Ketua Pengarah Penyiaran di Menara Angkasapuri, hari ini.

Rohaizulfarridz berkata, pihaknya merancang menganjurkan kejohanan eSukan kedua dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang susulan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran sulung itu.

Katanya, pemain berbakat yang dikenal pasti turut berpotensi diketengahkan ke pertandingan lebih tinggi termasuk kejohanan eSukan peringkat Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Program, Hairon Affandi Zainal Abidin berkata, kejohanan itu membuka ruang kepada warga RTM dan IPPTAR untuk mengeratkan kerjasama dalam bidang lain.

“Bermulanya sukan eSukan ini dapat mencetuskan satu hubungan baik, persebatian dan silaturahim antara kedua-dua jabatan,” katanya.

Peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan/Foto IPPTAR

Peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan sebelum saingan diteruskan ke peringkat 16 terbaik, suku akhir, separuh akhir dan final.

Kejohanan yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang itu menawarkan Piala Pusingan Ketua Pengarah Penyiaran sebagai trofi utama, selain hadiah wang tunai, piala, hamper dan sijil kepada empat pemenang utama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.