
SHAH ALAM, 12 Ogos – Seorang warga emas dan anak saudara lelakinya berusia lapan tahun maut, manakala dua lagi mangsa mengalami sesak nafas dalam kebakaran sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Batu Unjur 9, Taman Bayu Perdana, Klang, dekat sini, petang tadi.
- Mayat ditemui dalam dua tandas berasingan di tingkat dua selepas operasi pemadaman selesai pada 6.33 petang.
- Panggilan kecemasan diterima pada 5.51 petang.
- Mayat disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan; dua lagi mangsa diselamatkan orang awam dan dirawat di HTAR.
- Operasi ditamatkan pada 10.05 malam bersama 18 anggota BBP Pelabuhan Klang dan BBP Andalas; mayat diserahkan kepada Unit Forensik PDRM pada 10.15 malam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata kedua-dua mangsa lelaki berusia 66 tahun dan kanak-kanak berusia lapan tahun itu ditemukan dalam dua tandas berasingan di tingkat dua bangunan berkenaan selepas operasi pemadaman selesai pada 6.33 petang.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.51 petang.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala dua lagi mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10.15 malam untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.05 malam dengan penglibatan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan BBP Andalas.
– BERNAMA