
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pandangan teknikal unit penyelidikan dan pengurusan risiko perlu diberi pertimbangan dalam tadbir urus korporat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan keputusan pelaburan strategik dibuat secara telus dan bertanggungjawab.
- Semua laporan penyelidikan, penilaian risiko dan usaha wajar mesti dibentangkan secara menyeluruh kepada Jawatankuasa Pelaburan.
- Jika keputusan bercanggah dengan pemeriksaan wajar, perlu justifikasi bertulis, penilaian bebas kedua atau pengundian Lembaga Pengarah.
- Nama peserta mesyuarat perlu direkod dengan jelas supaya pihak bertanggungjawab boleh dikenal pasti.
- Ketua unit penyelidikan dan pengurusan risiko mesti ada akses terus kepada Lembaga Pengarah dan perlindungan daripada tindakan balas.
Penganalisis Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik berkata, pandangan profesional perlu menjadi sebahagian daripada proses kelulusan urus niaga, khususnya dalam usaha memperkukuh autonomi institusi seperti Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuh peranan Lembaga Pengarah dengan memastikan semua laporan penyelidikan, penilaian risiko dan usaha wajar (due diligence) dibentangkan secara menyeluruh kepada Jawatankuasa Pelaburan.
“Jika keputusan yang mahu dibuat bertentangan dengan penilaian pemeriksaan wajar tersebut, mesti ada justifikasi bertulis, penilaian bebas yang kedua ataupun pengundian dalam kalangan Lembaga Pengarah.
Nama mereka yang terlibat dalam mesyuarat tersebut juga perlu direkod dengan jelas supaya ada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya ketika mengulas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.
Mohamad Faisal berkata, ketua unit penyelidikan dan pengurusan risiko juga perlu mempunyai akses terus kepada Lembaga Pengarah serta diberikan perlindungan daripada sebarang tindakan balas ketika menyampaikan pandangan profesional.
Katanya, pendekatan itu bagi memastikan setiap syor dan penilaian risiko diambil kira dalam keputusan akhir, selain disertakan justifikasi yang telus.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memaklumkan TH mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah, dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus.
Kerugian hampir RM13 bilion itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018, selain rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.