
TELUK INTAN, 12 OGOS – Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata terhadap seorang wanita warga emas di sebuah rumah di Langkap, di sini.
- Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian, mengesahkan kejadian dan siasatan berhubung laporan mangsa.
- Kejadian pada 3 Ogos sekitar jam 4 pagi; suspek bersenjatakan parang merampas gelang emas, mangsa 69 tahun cedera, kerugian anggaran RM6,000.
- Suspek diberkas di Slim River dan seutas gelang tangan emas disita; kes disiasat di bawah Seksyen 394, hukuman sehingga 20 tahun, denda atau sebatan.
Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Chua Kok Lian.
Beliau berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak hasil siasatan lanjut susulan laporan yang dibuat mangsa.
“Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 pagi pada 3 Ogos lalu, mangsa berusia 69 tahun didatangi suspek tidak dikenali yang bersenjatakan parang, bertindak
merampas seutas gelang tangan emas yang dipakainya.
Kejadian berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serta kerugian dianggarkan berjumlah kira-kira RM6,000,” Katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.
Terdahulu, suspek berjaya diberkas di Slim River manakala seutas gelang tangan emas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan turut dirampas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.