Hibah tinggi punca utama kerugian TH

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pemberian hibah kepada pendeposit dalam jumlah yang tinggi dikenal pasti antara punca utama yang menyumbang kepada kerugian Lembaga Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • Hibah diagihkan melebihi lebihan aset sejak 2014, menyebabkan defisit besar pada tabungan Tabung Haji.
  • Contoh 2017: lebihan sebelum hibah RM769 juta tetapi hibah RM3.324 bilion, mengakibatkan kekurangan kira-kira RM4.093 bilion.
  • PwC tidak menerima beberapa transaksi berkaitan saham dan pengisytiharan dividen oleh anak syarikat, menimbulkan keraguan kewangan.
  • Desakan hentikan pemberian hibah tinggi, jalankan siasatan forensik dan tingkatkan akauntabiliti institusi Islam untuk elakkan pengulangan.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pemberian hibah TH kepada pendeposit pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima, Parlimen ke-15, hari ini.

Menurutnya, masalah mula ketara apabila jumlah hibah yang diagihkan melebihi lebihan yang tersedia dalam tabungan aset TH.

“Bermula tahun 2014, jumlah hibah yang diagihkan melebihi daripada jumlah lebihan yang terdapat dalam tabungan aset Tabung Haji.

“Begitu juga pada tahun 2017, jumlah sebelum hibah hanya sekitar RM769 juta, tetapi hibah sebanyak RM3.324 bilion masih diagihkan, menyebabkan kekurangan sebanyak RM4.093 bilion,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu lebih membimbangkan apabila terdapat sejumlah transaksi, khususnya berkaitan saham serta pengisytiharan dividen oleh anak syarikat, yang tidak diterima oleh PricewaterhouseCoopers (PwC), sebuah firma perakaunan antarabangsa.

Azli berkata, keputusan untuk mengekalkan pemberian hibah pada kadar tinggi dipercayai bertujuan memastikan pendeposit dan pelabur melihat TH sebagai institusi yang menawarkan pulangan menarik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendekatan itu perlu dihentikan bagi memastikan kedudukan rizab TH kekal kukuh dan tidak terus terhakis akibat pemberian hibah yang tinggi.

Azli turut menegaskan sekiranya terdapat penemuan berkaitan transaksi yang meragukan atau tidak benar, siasatan forensik perlu dijalankan bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Dalam penggulungannya, beliau berkata sejarah tidak boleh diubah, namun pengajaran daripada apa yang berlaku perlu dijadikan asas bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

“Kes Tabung Haji mengajar kita satu perkara yang sangat penting, institusi Islam tidak kebal daripada kelemahan manusia.

“Sebab itu kita tidak boleh berlindung di sebalik nama Islam untuk mengelakkan soalan tentang akauntabiliti. Sebaliknya, kita mesti lebih tegas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya pada Sidang Khas Parlimen hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.