
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kadar pengangguran di Malaysia kekal 3.0 peratus pada Jun 2026 seperti bulan sebelumnya dengan bilangan penganggur berjumlah 517,800 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
- Pasaran buruh Jun 2026 terus menunjukkan momentum positif disokong oleh ekonomi negara yang berdaya tahan dan prospek kekal positif.
- Kadar penyertaan tenaga buruh kekal 70.9 peratus sementara tenaga buruh dan penduduk bekerja mencatatkan peningkatan marginal bulan ke bulan.
- Sektor perkhidmatan kekal penyumbang utama; pembuatan dan pembinaan meningkat manakala pertanian serta perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penurunan.
DOSM memaklumkan, bilangan penganggur meningkat 0.9 peratus bulan ke bulan daripada 513,400 orang yang direkodkan pada Mei 2026.
Secara keseluruhan, pasaran buruh Malaysia pada bulan Jun 2026 terus menunjukkan momentum positif, disokong oleh ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.
“Peningkatan guna tenaga yang berterusan serta kadar pengangguran yang stabil mencerminkan prestasi pasaran buruh yang menggalakkan.
“Bilangan tenaga buruh merekodkan peningkatan marginal bulan ke bulan sebanyak 0.04 peratus kepada 17.34 juta orang pada Jun 2026 berbanding 17.34 juta orang bulan sebelumnya,” menurut DOSM dalam satu kenyataan.
Bilangan penduduk bekerja turut meningkat 0.01 peratus kepada 16.83 juta orang dari bulan sebelumnya.
Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.
Kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, iaitu peningkatan sebanyak 0.02 peratus, mencecah 12.61 juta orang pada Jun 2026 (Mei 2026: 12.61 juta orang).
Pada masa sama, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah secara marginal 0.04 peratus, merekodkan 3.15 juta orang.
DOSM berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah guna tenaga pada bulan tersebut, terutamanya dalam aktiviti pengangkutan dan penyimpanan, penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, serta perdagangan borong dan runcit.
Selain itu, sektor pembuatan dan pembinaan turut merekodkan pertambahan, manakala sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penurunan.
Tambah DOSM, 79.4 peratus daripada jumlah penganggur merangkumi penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.
Kumpulan ini meningkat 0.7 peratus kepada 410,900 orang berbanding Mei 2026.
Prestasi pasaran buruh Malaysia pada suku kedua 2026 pula menunjukkan tenaga buruh terus berkembang, meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 17.28 juta orang.
“Secara keseluruhannya, prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia mulai Julai 2026 dan seterusnya dijangka kekal positif, disokong oleh kedudukan ekonomi domestik yang stabil, aktiviti pelaburan yang berterusan serta daya tahan pasaran buruh.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan yang berpanjangan dalam pasaran tenaga global, perkembangan geopolitik dan kedudukan perdagangan luar boleh memberi tekanan kepada kos perniagaan dan keputusan pengambilan pekerja, sekiranya risiko tersebut berlarutan,” menurut DOSM.