
SYDNEY, 11 Ogos – Pihak berkuasa Australia akan melaksanakan vaksinasi terhadap spesies burung yang dikenal pasti sangat terdedah kepada virus selesema burung H5 yang amat mudah berjangkit.
- Kes pertama dikesan pada burung migrasi laut pada Jun; minggu lalu kematian besar-besaran hidupan liar dilaporkan.
- Vaksinasi bersasar diberi keutamaan pada burung kurungan; vaksin memerlukan dua dos, jadi sukar untuk vaksinasi burung liar.
- Virus dijangka terus merebak; setakat Isnin 231 kes disahkan atau disyaki, tiada kes dalam industri ternakan.
Selama bertahun-tahun, Australia merupakan satu-satunya benua yang bebas daripada virus H5, yang telah menyebabkan penyakit teruk dan kematian dalam kalangan unggas serta burung liar di seluruh dunia.
Kes pertama di Australia dikesan pada burung migrasi laut pada Jun, manakala minggu lalu kerajaan melaporkan kejadian membabitkan kematian besar-besaran pertama dalam kalangan hidupan liar.
Sebagai sebahagian daripada usaha melindungi populasi burung, pihak berkuasa mereka akan melaksanakan vaksinasi bersasar terhadap spesies burung dalam kurungan dan burung liar.
“Ia amat sukar untuk memvaksinasi burung liar dan untuk berbuat demikian memerlukan dua dos vaksin,” kata Menteri Alam Sekitar, Murray Watt.
“Adalah sukar untuk menangkap burung liar sekali, apatah lagi dua kali,” katanya lagi.
“Sekiranya vaksinasi terhadap burung liar dapat dilakukan, kami akan berbuat demikian, tetapi keutamaan adalah memberikan vaksin kepada burung yang berada dalam kurungan.”
Sementara itu, Menteri Pertanian, Julie Collins berkata, Australia perlu bersedia menghadapi lebih banyak kejadian membabitkan kematian besar-besaran unggas.
“Keadaan ini akan terus merebak ke seluruh negara,” ujarnya.
Spesies burung liar yang paling terjejas akibat virus H5 termasuk unggas air, burung pesisir pantai, burung laut dan burung pemangsa.
Setakat Isnin, pihak berkuasa melaporkan 231 kes disahkan atau disyaki positif virus selesema burung H5 di Australia.
Bagaimanapun, tiada kes dikesan dalam industri ternakan atau sektor pengeluaran pertanian negara.
Hampir separuh daripada spesies burung liar Australia serta 83 peratus spesies mamalia di negara itu tidak ditemukan di mana-mana tempat lain di dunia.
Virus selesema burung H5 membunuh lebih 13,000 anak gajah laut selepas menjangkiti koloni pembiakan di Kepulauan Heard dan McDonald yang terpencil, menurut saintis Australia pada Jun. – AFP