KADA mohon tambahan RM1 juta hadapi cuaca panas

Gambar hiasan

KOTA BHARU, 10 Ogos – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memohon tambahan peruntukan RM1 juta bagi menghadapi risiko cuaca panas dan gelombang haba yang boleh menjejaskan bekalan air ke kawasan sawah di Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KADA perlukan pam mudah alih pelbagai kapasiti untuk menyalurkan air ke kawasan sawah berdepan masalah bekalan air.
  • Permohonan tambahan dibuat selepas KADA menerima RM880,000 yang diluluskan sebelum ini untuk persediaan cuaca panas.
  • KADA menyasarkan lebih banyak sawah capai sekurang-kurangnya lima tan sehektar musim pertama 2026 dan akan kenal pasti punca hasil rendah.

Pengerusinya, Khalid Abd Samad berkata, peruntukan itu diperlukan untuk membeli pam mudah alih pelbagai kapasiti bagi menyalurkan air ke kawasan sawah yang berdepan masalah bekalan air.

Katanya, permohonan tambahan itu dibuat selepas KADA menerima RM880,000 yang diluluskan sebelum ini bagi persediaan menghadapi keadaan cuaca berkenaan.

“Kita memang ambil maklum tentang amaran itu dan sekarang ini kita dah ada membuat permohonan kepada kementerian untuk bajet tambahan. Kita pun tak tahu sejauh mana kita akan terkesan tetapi kita standby,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Jasamu Dikenang 2026 di sini.

Khalid berkata, sumber air di Kelantan secara keseluruhannya mencukupi, namun cabaran KADA ialah menyalurkan air ke kawasan sawah yang memerlukan.

Sementara itu, KADA menyasarkan lebih banyak kawasan sawah mencapai hasil sekurang-kurangnya lima tan sehektar bagi musim pertama 2026.

Beliau berkata, pada musim sebelumnya hanya sekitar 17 hingga 18 peratus kawasan sawah mencapai hasil berkenaan.

Katanya, kira-kira 2,000 hektar atau 10 peratus kawasan sawah hanya mencatat hasil sekitar dua tan sehektar akibat kemarau, menyebabkan purata hasil keseluruhan KADA berada pada 4.2 tan sehektar.

“Kita akan mengenal pasti punca kawasan yang mencatat hasil rendah, termasuk masalah bekalan air, penyakit dan musuh tanaman sebelum intervensi dilaksanakan bagi meningkatkan hasil,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.