
GERIK, 10 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya klinik kesihatan di perkampungan Orang Asli dimasukkan sebagai antara inisiatif di bawah Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli 2026-2035.
- Akses perkhidmatan kesihatan di perkampungan Orang Asli masih perlu penambahbaikan, meskipun separuh kampung telah ada klinik.
- Pelan Strategik 2026-2035 diterajui Kementerian Kesihatan dengan pendekatan seluruh kerajaan dan penglibatan 17 kementerian serta agensi.
- Pelan menggariskan enam teras termasuk akses dan kesaksamaan kesihatan, literasi kesihatan, pendidikan, ekonomi, jaringan sosial, budaya dan alam sekitar.
Beliau berkata, usaha itu penting kerana akses kepada perkhidmatan kesihatan di perkampungan Orang Asli masih perlu penambahbaikan.
“Daripada 628 perkampungan Orang Asli, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah perkampungan itu telah mempunyai klinik kesihatan. Tetapi saya merasa bahawa ianya belum memuaskan hati kerana masih banyak ruang untuk penambahbaikan yang boleh dilakukan. Artinya penambahbaikan harus dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan pelan berkenaan yang bertemakan “Menjunjung Keadilan Sosial, Menjulang Kesihatan Orang Asli” di Kampung Orang Asli Air Banun, di sini.
Beliau yang juga merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata,pelan itu diterajui Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi pendekatan seluruh
kerajaan dan seluruh masyarakat, dengan penglibatan 17 kementerian dan agensi.
Katanya, pelaksanaan itu memerlukan kerjasama rentas kementerian dan agensi termasuk KKM, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kewangan.
Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli 2026-2035 menggariskan enam teras utama meliputi akses dan kesaksamaan perkhidmatan kesihatan, literasi serta tingkah laku kesihatan dan akses kepada pendidikan.
Langkah itu turut memberi tumpuan kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sara hidup, jaringan sosial dan tadbir urus komuniti, selain pemeliharaan budaya serta kelestarian alam sekitar.