
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Lebih 1,000 peserta dijangka menyertai Minggu Maritim Malaysia 2026 (MMW2026) yang bakal berlangsung dari 28 September hingga 2 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
- MMW2026 mengetengahkan tema "From Ambition to Action: Powering Maritime Excellence", menekankan kerjasama, inovasi serta pembangunan maritim mampan dan berdaya saing.
- Penganjuran oleh MOT dengan kerjasama MISC dan MASA, menyokong penglibatan aktif Malaysia dalam agenda IMO serta memperkukuh peranan sebagai hab maritim Asia Pasifik.
- Program komprehensif lima hari termasuk forum meja bulat, dialog kepimpinan, sesi pembiayaan, pameran dengan anugerah dan sehingga 80 reruai, arah penyahkarbonan dan pendigitalan.
Program yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri serta peneraju maritim tempatan dan antarabangsa itu dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama strategik Malaysia International Shipping Corporation (MISC) dan Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA).
Bertemakan “From Ambition to Action: Powering Maritime Excellence”, MMW2026 mengetengahkan usaha memperkukuh kerjasama, inovasi serta pembangunan sektor maritim yang mampan dan berdaya saing.
Menurut kenyataan MOT, penganjuran program itu turut menyokong penglibatan aktif Malaysia dalam agenda Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), selain memperkukuh kedudukan negara sebagai hab maritim dan logistik di rantau Asia Pasifik.
Pelbagai program diadakan sepanjang lima hari program, termasuk Forum Meja Bulat Strategik, Dialog Kepimpinan dan Sesi Pembiayaan Maritim.
Ia turut menampilkan empat trek persidangan, Hari Terbuka Maritim ALAM, Anugerah Ikon Maritim Malaysia serta pameran industri yang mengetengahkan sehingga 80 reruai.
MOT menyifatkan MMW2026 sebagai edisi paling komprehensif sejak 2014 menerusi pendekatan yang menggabungkan program utama di KLCC dengan program satelit.
Penganjuran itu dijangka memperkukuh kerjasama antarabangsa, merangsang pelaburan baharu serta mempercepat agenda penyahkarbonan dan pendigitalan sektor maritim Malaysia.