
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Perlumbaan go-kart menjadi medan persiapan fizikal buat juara Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah musim lalu, Putera Adam Halim Muazzam dalam usaha memastikan dirinya berada pada tahap terbaik sebelum kembali mengharungi saingan GT Asia bulan depan.
- Sertai Infinity IAME Siri Asia 2026 di Litar Antarabangsa LYL untuk tingkatkan kecergasan menjelang Lamborghini Super Trofeo Asia di China dari 4 hingga 6 September.
- Beliau kata memandu go-kart lebih penat berbanding jentera GT, menjadikannya kaedah terbaik membina kecergasan perlumbaan.
- Walaupun fokus lebih kepada perlumbaan kereta, ini pusingan pertama daripada enam, masih mampu bersaing di kelompok hadapan.
- Menamatkan perlumbaan akhir di tempat ketujuh dengan pusingan terpantas 1:06.735, kini fokus ke Lamborghini Super Trofeo Asia di Shanghai.
Pelumba berusia 20 tahun itu menjadikan penyertaan dalam Infinity IAME Siri Asia 2026 di Litar Antarabangsa LYL Karting sebagai platform meningkatkan kecergasan menjelang saingan Lamborghini Super Trofeo Asia di China dari 4 hingga 6 September.
Menurut beliau, tuntutan fizikal ketika memandu go-kart lebih tinggi berbanding jentera GT, sekali gus menjadikannya antara kaedah terbaik untuk membina kecergasan sebelum kembali beraksi dalam perlumbaan kereta.
“Saya kembali datang ke perlumbaan ini untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan.
“Bagi saya, memandu go-kart lebih penat daripada kereta jadi ini adalah salah satu cara terbaik. Saya tidak menjangkakan apa-apa untuk perlumbaan ini,” katanya.
Walaupun ini penyertaan pertamanya daripada enam pusingan Infinity IAME Siri Asia musim ini, Putera Adam gembira kerana masih mampu memberikan saingan kepada kelompok hadapan selepas lebih banyak memberi tumpuan kepada perlumbaan GT.
Beliau juga menyifatkan tahap persaingan musim ini juga semakin tinggi dengan penyertaan pelumba berkualiti dari pelbagai negara termasuk Australia dan Sepanyol.
“Alhamdulillah, saya sangat bangga dengan keputusan ini kerana sudah lama tidak berlumba go-kart. Sekarang saya lebih banyak berada dalam arena perlumbaan kereta, jadi apabila kembali berlumba go-kart, saya gembira masih mampu bersaing di kelompok hadapan,” jelasnya.
Tambahnya lagi Infinity IAME Siri Asia sebagai antara platform terbaik di Asia untuk pelumba mendapatkan pengalaman antarabangsa, malah ramai peserta yang pernah bersaing dalam kejuaraan itu kini sudah melangkah ke Formula 2, Formula 3 dan perlumbaan GT.
Pada perlumbaan akhir Infinity IAME Siri Asia 2026, Putera Adam yang mewakili DRM Racing Team menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas melengkapkan 18 pusingan dengan catatan masa terpantas satu minit 6.735 saat.
Perlumbaan berkenaan dimenangi pelumba Thailand, Toby Gale, diikuti Dilan Tan dari Singapura di tempat kedua dan Aaron Garcia dari Sepanyol di kedudukan ketiga.
Putera Adam kini mengalihkan fokus kepada Lamborghini Super Trofeo Asia di Shanghai bulan depan dalam usaha meneruskan momentum selepas muncul juara Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah musim lalu.