
BANGKOK, 9 Ogos – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan penguatkuasaan undang-undang senjata api diperkukuh susulan insiden tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi pada Jumaat.
- Seorang pelajar 14 tahun melepaskan puluhan das tembakan di Sekolah Debsirin, menyebabkan pelajar berlindung.
- Serangan mengorbankan lapan orang termasuk suspek serta datuk dan neneknya; lebih 30 cedera, sembilan dilaporkan kritikal.
- Polis menemui mayat datuk dan nenek suspek di rumah, siasatan awal berkata kedua-dua mangsa ditembak sebelum serangan sekolah.
- Sepucuk pistol dipercayai milik datuk ditemui, banyak peluru dijumpai dalam beg suspek; suspek juga mengkaji kes tembakan sekolah AS.
Beliau menegaskan kejadian seumpama itu tidak boleh dibiarkan berulang.
“Undang-undang cukup jelas. Orang awam tidak berada dalam keadaan yang memerlukan mereka memiliki senjata api dan membawanya di tempat awam.
“Mulai sekarang, pemeriksaan akan dijalankan dan jika orang awam didapati membawa senjata secara haram, mereka akan ditahan,” katanya.
Suspek yang dikenal pasti sebagai pelajar berusia 14 tahun dilaporkan melepaskan puluhan das tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi yang terletak di dalam daerah Bang Kruai.
Serangan tersebut mengorbankan lapan orang termasuk suspek serta datuk dan neneknya, manakala lebih 30 lagi cedera dengan sembilan dilaporkan kritikal.
Salah seorang pelajar, Kittiphat Chulerd berkata, beliau bersama rakan-rakannya berlindung di dalam sebuah bilik ketika serangan berlaku.
“Saya memanggil rakan-rakan masuk ke dalam sebuah bilik dan kami membuat penghadang di pintu kerana ia tidak boleh dikunci.
“Kemudian kami menunggu arahan pihak berkuasa mengenai apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Polis kemudian menemukan mayat datuk dan nenek suspek di rumah mereka, dengan siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa ditembak suspek sebelum serangan di sekolah berlaku.
Sepucuk pistol turut ditemukan di lokasi dan dipercayai milik datuk suspek, manakala sejumlah besar peluru dijumpai di dalam beg remaja itu.
Media Thailand melaporkan, siasatan turut mendapati, suspek pernah mencari dan mengkaji kes tembakan sekolah di Amerika Syarikat menerusi komputernya.
Sekolah berkenaan kini dikosongkan selepas semua pelajar dipindahkan.
Kerajaan Thailand turut mengerahkan pasukan penilaian krisis dan rawatan kesihatan mental bagi membantu mereka yang terjejas. – REUTERS