Lima mayat ditemukan di Nepal, sembilan bulan selepas runtuhan salji

Mayat-mayat berkenaan masih belum dibawa keluar atau dikenal pasti / Foto REUTERS

KATHMANDU, 9 Ogos – Lima mayat ditemukan di Banjaran Himalaya, sembilan bulan selepas kejadian runtuhan salji di kawasan pergunungan itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa percaya mayat itu mungkin lima pendaki yang hilang sejak runtuhan salji, termasuk seorang warga Jerman.
  • Mayat ditemukan di Yalung Ri, gunung setinggi 5,630 meter, dilaporkan di bawah kawasan puncak.
  • Helikopter untuk membawa keluar mayat terpaksa berpatah balik akibat cuaca buruk; pasukan penyelamat kekal bersiap sedia.

Pihak berkuasa Nepal tidak menolak kemungkinan mayat berkenaan ialah lima pendaki yang dilaporkan hilang sejak kejadian itu, termasuk seorang warga Jerman.

Bagaimanapun, mayat berkenaan dilaporkan masih belum dibawa keluar atau dikenal pasti.

Kejadian itu berlaku di Yalung Ri, sebuah gunung setinggi 5,630 meter.

Ketua majlis tempatan Gaurishankar di sempadan Tibet, Biswash Karki memberitahu dpa bahawa beliau percaya mayat berkenaan ialah pendaki yang hilang.

Mayat itu dilaporkan ditemukan pada Khamis di bawah kawasan puncak.

Bagaimanapun, sebuah helikopter yang dihantar untuk membawa keluar mayat terpaksa berpatah balik pada Jumaat berikutan cuaca buruk, manakala pasukan penyelamat kekal siap sedia.

Lima individu yang hilang itu merupakan sebahagian daripada kumpulan 15 pendaki yang dilanda runtuhan salji pada November tahun lepas ketika cuba mendaki puncak Yalung Ri.

Mayat dua malim gunung warga Nepal ditemukan ketika kejadian itu, manakala lapan lagi anggota kumpulan berkenaan berjaya diselamatkan.

Selain warga Jerman, dua warga Itali serta masing-masing seorang pendaki dari Perancis dan Kanada turut dilaporkan hilang.-BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.