Kejatuhan CPI, China terus berdepan risiko deflasi

CPI menjadi ukuran utama inflasi / Foto AFP

BEIJING, 9 Ogos – China terus berdepan dengan risiko tekanan deflasi berpanjangan yang didorong kejatuhan indeks harga pengguna (CPI), menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • China terus berdepan risiko deflasi berpanjangan selepas CPI mencatat pertumbuhan paling lemah, menimbulkan kebimbangan terhadap permintaan domestik.
  • Indeks harga pengeluar meningkat tetapi perlahan, kurang memenuhi ramalan dan menunjukkan tekanan terhadap keuntungan pengeluar.
  • Lonjakan eksport dipacu permintaan produk berkaitan AI membantu sektor pembuatan; ekonomi perlu alihkan fokus kepada perbelanjaan isi rumah.

Biro Perangkaan Kebangsaan China (NBS) memaklumkan CPI yang menjadi ukuran utama inflasi meningkat 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Angka berkenaan lebih rendah daripada ramalan 0.8 peratus dalam tinjauan Bloomberg dan merupakan peningkatan paling perlahan sejak Januari.

“Kelembapan penggunaan domestik telah menjadi masalah kepada Beijing sejak beberapa tahun lepas dan berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara, walaupun sektor eksport serta beberapa industri berteknologi tinggi terus berkembang pesat.

“Indeks harga pengeluar (PPI) meningkat 3.5 peratus berbanding tahun sebelumnya pada Julai, lebih perlahan berbanding peningkatan 4.1 peratus pada Jun dan lebih rendah daripada ramalan Bloomberg sebanyak 3.8 peratus,”menurut NBS.

Angka terbaru itu dikeluarkan dua hari selepas data perdagangan bagi Julai menunjukkan eksport dan import melonjak, didorong peningkatan permintaan luar negara kepada produk teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Lonjakan eksport tahun ini telah membantu sektor pembuatan China bertahan sepanjang tempoh kelembapan berpanjangan dalam perbelanjaan domestik.

Sehubungan itu, pakar ekonomi berpendapat China perlu beralih kepada model pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan isi rumah berbanding pemacu ekonomi tradisional termasuk pelaburan dalam sektor hartanah.

Presiden dan Ketua Ekonomi Pinpoint Asset Management, Zhiwei Zhang memaklumkan momentum ekonomi menjadi lemah pada suku kedua.

“Tempoh beberapa bulan diperlukan bagi menilai sejauh mana langkah yang dibuat dalam mesyuarat Politburo CCP dapat meningkatkan permintaan domestik,”katanya.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.