
TANJONG MALIM, 5 Ogos – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kepentingan anjakan paradigma pendidikan multibudaya, dengan bermatlamat melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, malah memiliki literasi digital, pemikiran kritis dan kepekaan budaya dalam mendepani cabaran era digital.
- Pendidikan multibudaya mesti membina empati, keadilan sosial, penghormatan dan kemampuan hidup bersama dalam masyarakat majmuk.
- Perkembangan digital mempercepat interaksi antara budaya dan membuka peluang pelajar berhubung dengan masyarakat global melalui platform digital.
- Cabaran era digital seperti maklumat palsu, stereotaip, ucapan kebencian, diskriminasi dan buli siber memerlukan literasi digital, pemikiran kritis serta kepekaan budaya.
- Transformasi digital mesti inklusif dengan akses peranti, internet, kandungan berkualiti dan sokongan pendidikan melalui kerjasama universiti, sekolah, pembuat dasar, industri dan komuniti.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata, pendidikan multibudaya perlu berkembang melangkaui pengenalan terhadap adat, bahasa dan budaya sesuatu kaum, dengan membina sifat empati, keadilan sosial, sikap saling menghormati serta keupayaan hidup bersama dalam masyarakat majmuk.
Tambah beliau, perkembangan teknologi digital telah mengubah landskap pembelajaran apabila interaksi antara budaya berlaku dengan lebih pantas tanpa batasan geografi.
Keadaan ini turut membuka ruang kepada murid dan mahasiswa untuk berhubung dengan masyarakat global melalui pelbagai platform digital.
“Namun, kemajuan teknologi turut membawa cabaran baharu apabila maklumat palsu, stereotaip, ucapan kebencian, diskriminasi dan buli siber boleh tersebar dengan pantas sekiranya pengguna tidak memiliki literasi digital, pemikiran kritis dan kepekaan budaya yang kukuh, katanya ketika menyempurnakan Majlis Syarahan Budiman bertajuk Anjakan Paradigma Pendidikan Multibudaya dalam Era Digital di Malaysia.
Hadir sama Naib Canselor UPSI, Prof Dr Md Amin Md Taff dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Prof Dr. Azmi Mohamed.
Menurut Raja Nor Safinas, transformasi digital juga perlu dilaksanakan secara inklusif dengan memastikan akses kepada peranti, internet, kandungan pembelajaran berkualiti serta sokongan pendidikan dapat dinikmati secara saksama supaya tiada murid atau komuniti yang tercicir.
Katanya, matlamat utama pendidikan masa kini adalah melahirkan generasi yang mampu menggunakan teknologi secara bertanggungjawab, beretika dan berperikemanusiaan, selain berupaya menilai maklumat secara kritis serta menghormati kepelbagaian budaya dan pandangan.
Pada mas sama, UPSI sebagai universiti pendidikan terulung negara memikul tanggungjawab besar untuk menerajui penyelidikan, latihan guru dan inovasi pedagogi yang menyokong pembangunan pendidikan multibudaya serta transformasi digital negara.
“Usaha berkenaan memerlukan kerjasama erat antara universiti, sekolah, pembuat dasar, industri, keluarga dan komuniti kerana pembentukan nilai tidak berlaku di bilik darjah semata-mata, sebaliknya melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan,” katanya
Menyentuh mengenai ketokohan Prof Dr. Abdul Talib, Raja Nor Safinas menyifatkan tokoh akademik berkenaan banyak menyumbang kepada bidang sosiologi pendidikan melalui penyelidikan berkaitan keadilan sosial, mobiliti pendidikan serta hubungan antara budaya dengan sistem pembelajaran.
“Sumbangan beliau bukan sahaja memperkaya khazanah ilmu akademik, malah menjadi rujukan kepada pembuat dasar, pengamal pendidikan, mahasiswa dan masyarakat dalam memahami peranan pendidikan membentuk sebuah masyarakat yang inklusif dan harmoni,” katanya.