
KEMAMAN, 5 Ogos – Sepasang suami isteri cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah liar di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Ceneh Baru, di sini, malam tadi.
- Dua mangsa berusia 55 dan 53 tahun mengalami kecederaan ringan; Toyota Estima yang mereka naiki remuk teruk.
- Pemandu tidak sempat mengelak kira-kira 20 ekor gajah liar yang melintasi lebuh raya, rakaman dashcam menunjukkan jumlah itu.
- Mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba, dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman; keadaan mereka dilaporkan stabil; insiden pertama seumpamanya sejak lebuh raya dibuka.
Kejadian kira-kira pukul 9.36 malam di Kilometer 274.6 LPT2 itu menyebabkan pasangan berusia 55 dan 53 tahun berkenaan mengalami kecederaan ringan, manakala kenderaan Toyota Estima yang dinaiki mereka rosak teruk.
Ketika kejadian, pasangan terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Bandar Cheneh Baru menuju ke rumah mereka di Perumahan Awam Kos Rendah Kampung Pasir Gajah, Kemaman.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu tidak sempat mengelak sekumpulan gajah liar yang sedang melintasi lebuh raya berkenaan sebelum kenderaan mereka merempuh haiwan-haiwan tersebut.
Akibat rempuhan itu, bahagian hadapan Toyota Estima berkenaan remuk teruk dan kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baru.
Mangsa kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan, dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan mangsa menunjukkan kira-kira 20 ekor gajah liar sedang melintasi lebuh raya menuju ke kawasan hutan berhampiran ketika kejadian berlaku.
Insiden melibatkan kenderaan awam merempuh gajah liar itu dipercayai merupakan kejadian pertama di Lebuhraya Pantai Timur 2 sejak lebuh raya tersebut dibuka lebih 13 tahun lalu.