
MELAKA, 27 Julai -Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) menggesa seramai 2,700 pengusaha hotel bajet di bawah naungannya agar memanfaatkan perkhidmatan Tourshield bagi memperkukuh aspek perlindungan insurans serta keselamatan para pelancong.
- Tourshield menghimpunkan pelbagai perlindungan insurans dan keselamatan di bawah satu bumbung untuk manfaat pengusaha hotel dan pelancong.
- Hotel yang melanggan dapat menambah manfaat pada kadar bilik, membolehkan tetamu mendapat liputan perlindungan secara langsung.
- Pilih menginap di hotel berdaftar secara sah untuk menyokong industri perhotelan dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel, berkata inisiatif tersebut menghimpunkan pelbagai jenis perlindungan insurans serta aspek keselamatan di bawah satu bumbung bagi memberi manfaat berganda kepada pengusaha hotel dan pelancong.
“Tourshield adalah satu inisiatif yang menempatkan pelbagai jenis insurans dan keselamatan di bawah satu bumbung yang dikeluarkan oleh MyBHA bagi memberi bantuan kepada pelancong serta pihak hotel sendiri.
“Apabila perkara ini berlaku, pihak hotel yang melanggan perkhidmatan ini mungkin boleh menambah sedikit manfaat tambahan pada kadar bilik mereka. Ini bermakna, jika tetamu menginap di hotel ini, mereka secara langsung mendapat liputan perlindungan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Tourshield di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memilih dan menginap di hotel yang berdaftar secara sah bagi menyokong pertumbuhan industri perhotelan negara, di samping memastikan aspek keselamatan diri dan keluarga sentiasa terjamin sepanjang percutian.