Insomniacks “Love Me Or Not”, sasar tembusi pasaran serantau

Foto Universal Music Group

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Kumpulan pop tempatan Insomniacks kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul “Love Me Or Not”, sebuah karya penuh berbahasa Inggeris yang menandakan langkah berani mereka menembusi pasaran serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kolaborasi antarabangsa bersama penulis Sweden Johan Gustafsson dan pasukan penggubah, dengan adunan serta mastering oleh Martin Hansen.
  • Pemilihan bahasa Inggeris sebagai strategi untuk memperluas capaian, terutama ke Filipina dan rantau Asia Tenggara.
  • Karya diumumkan sebagai pembuka tirai untuk konsert 5 Seconds of Summer, pengukuhan langkah mereka ke pentas antarabangsa.

Lagu berentak pop moden ini merupakan hasil kolaborasi antarabangsa bersama penulis lagu dari Sweden, diterbitkan oleh Johan Gustafsson.

Sekali gus memberi nafas baharu kepada identiti muzik kumpulan berkenaan.

Ia turut digubah oleh Rebbi James, Johan Gustafsson, Iqie, Danial dan Iskandar, dengan sentuhan adunan serta mastering oleh Martin Hansen.

Menurut Insomniacks, pemilihan bahasa Inggeris bukan sesuatu yang asing, sebaliknya strategi untuk memperluas capaian pendengar, khususnya di Filipina dan rantau Asia Tenggara.

Di sebalik melodi segar, “Love Me Or Not” mengangkat tema cinta tidak berbalas, menonjolkan keikhlasan menyayangi seseorang walaupun perasaan itu tidak dihargai.

Lagu ini diharap mampu menjadi peneman kepada pendengar yang melalui pengalaman emosi serupa.

Menariknya, single tersebut terhasil secara spontan dalam satu sesi ‘writing camp’ dan berjaya disiapkan dalam tempoh sehari, sebelum dipilih sebagai karya utama menjelang album baharu mereka.

Pengalaman bekerjasama dengan komposer antarabangsa turut membuka perspektif kreatif buat Insomniacks, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk bereksperimen dengan gaya muzik berbeza pada masa hadapan.

Lebih membanggakan, kumpulan itu turut diumumkan sebagai artis pembuka tirai bagi konsert kumpulan pop-rock antarabangsa 5 Seconds of Summer pada 17 November dan 4 Disember 2026, satu pencapaian besar yang mengukuhkan lagi langkah mereka ke pentas global.

“Love Me Or Not” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.