ACCCIM gesa penguatkuasaan lebih tegas tangani buruh paksa

Foto fail

KUALA LUMPUR, 23 Julai– Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) menggesa kerajaan memperkukuh undang-undang serta penguatkuasaan bagi menghalang import yang dikaitkan dengan amalan buruh paksa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan USTR mendapati Malaysia belum berkesan menguatkuasakan larangan import berkaitan buruh paksa.
  • Cadangan tarif tambahan 10 peratus boleh menjejaskan pengeksport dan mengakibatkan siasatan serta sekatan eksport kepada sektor berisiko.
  • Pengeksport digalak memperkukuh pemantauan rantaian bekalan serta memastikan semua pembekal patuhi piawaian buruh paksa.
  • Kerjasama antara MITI dan USTR serta mekanisme pengesahan diperlukan untuk menghalang kemasukan barangan dihasilkan melalui buruh paksa.

Langkah itu penting bagi menutup jurang peraturan yang dibangkitkan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi ACCCIM, Lee Heng Guie berkata, pengeksport Malaysia dijangka terkesan dengan cadangan tarif tambahan Amerika Syarikat memandangkan negara itu kekal sebagai antara pasaran eksport utama negara.

“Terdapat sektor tertentu yang berisiko dikenakan tindakan sekiranya wujud bukti amalan buruh paksa, atau syarikat mengimport bahan mentah serta input perantaraan dari negara ketiga yang turut dikaitkan dengan isu itu.

Dalam keadaan tersebut, syarikat berkenaan boleh disiasat dan berdepan sekatan eksport,” katanya pada majlis Tinjauan Perniagaan dan Ekonomi ACCCIM, di ibu negara.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar tarif tambahan 10 peratus yang dicadangkan ke atas Malaysia masih lebih rendah berbanding 12.5 peratus yang dikenakan terhadap beberapa negara serantau.

Katanya, kadar itu juga lebih rendah berbanding tarif timbal balik asal sebanyak 19 peratus, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada pengeksport tempatan.

Menurut beliau, syarikat perlu memperkukuh pemantauan rantaian bekalan serta memastikan semua pembekal mematuhi piawaian berkaitan buruh paksa.

Lee berkata demikian ketika mengulas laporan USTR pada 2 Jun lalu yang mendapati Malaysia belum menguatkuasakan larangan import terhadap barangan yang dikaitkan dengan buruh paksa secara berkesan.

Laporan itu menjadi antara faktor yang membawa kepada cadangan tarif tambahan 10 peratus ke atas import Malaysia.

Beliau turut menyambut baik usaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam menangani isu berkenaan.

“Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang yang melarang amalan buruh paksa, masih terdapat jurang dari segi perundangan untuk menyekat kemasukan barangan dan bahan mentah yang dihasilkan menerusi amalan tersebut.

Kerjasama berterusan antara MITI dan USTR penting bagi menangani isu yang dibangkitkan menerusi siasatan Seksyen 301,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan serta pemain industri mewujudkan mekanisme pengesahan dan pemantauan rantaian bekalan bagi memastikan bahan mentah serta barangan import bebas daripada amalan buruh paksa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.