Unjuran awal KDNK 5.8% bukti dasar ekonomi terus berkesan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026 membuktikan langkah-langkah pengurusan ekonomi kerajaan terus memberi kesan positif kepada pertumbuhan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif kerajaan seperti rasionalisasi subsidi diesel dan peningkatan pembiayaan kepada PKS menyokong prestasi ekonomi.
  • Tindakan diselaraskan oleh MTEN mengekalkan momentum pertumbuhan dan kestabilan meskipun ketidaktentuan akibat konflik Asia Barat.
  • Kerajaan akan terus mengambil langkah Belanjawan 2027 bagi memastikan bekalan mencukupi, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.
  • Pertumbuhan disokong hampir semua sektor kecuali pertanian; MoU dipeteraikan antara SC dan SFC.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, prestasi itu didorong oleh beberapa inisiatif kerajaan, termasuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel serta penambahan dana pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Langkah-langkah yang diselaraskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu jelas membantu menyokong momentum pertumbuhan serta mengekalkan kestabilan ekonomi negara walaupun berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.

“Kerajaan yakin langkah-langkah tersebut akan terus memastikan ekonomi negara kekal kukuh meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong (SFC), di sini, hari ini.

Mengulas hala tuju Belanjawan 2027, katanya kerajaan akan terus mengambil langkah yang bersesuaian bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa, termasuk memastikan bekalan barangan kekal mencukupi serta melindungi kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

“Krisis di Asia Barat masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda dan harga minyak dijangka kekal pada paras yang lebih tinggi berbanding sebelum krisis.

“Oleh itu, kerajaan perlu meneruskan langkah-langkah yang bersesuaian, khususnya bagi memastikan keterjaminan bekalan supaya aktiviti ekonomi dapat terus berjalan dengan lancar,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama.

Pertumbuhan tersebut disokong oleh peningkatan dalam hampir semua sektor ekonomi, kecuali sektor pertanian yang merekodkan penyusutan dalam tempoh berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.