
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) kepada umum, selepas yakin institusi itu kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh dan stabil.
- Perdana Menteri akan merujuk Ketua Setiausaha Negara untuk tentukan sama ada laporan RCI boleh didedah hari ini atau tunggu Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu depan.
- Penerbitan ditangguhkan sebelum ini kerana TH dalam proses pemulihan dan dibimbangi menimbulkan keresahan pencarum; kini tiada halangan kerana rakyat berhak mengetahui.
- RCI ditubuhkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menyiasat isu berkaitan Tabung Haji.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau perlu merujuk dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dahulu, bagi memastikan sama ada laporan itu boleh didedahkan hari ini atau perlu menunggu Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.
Beliau berkata, sebelum ini, pada dasarnya kerajaan telah bersetuju untuk menerbitkan laporan berkenaan, namun keputusan itu ditangguhkan kerana TH sedang melalui proses pemulihan.
“Ketika itu kita bimbang kerana Tabung Haji dalam proses pemulihan. Kita letakkan Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan pasukan baharu untuk membersihkan (pengurusan TH) berdasarkan pandangan, teguran dan laporan suruhanjaya.
“Sekiranya diterbitkan terlalu awal, ia mungkin menimbulkan keresahan kepada pencarum,” katanya selepas melancarkan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Jelasnya, beliau kini tidak mempunyai halangan untuk mendedahkan laporan tersebut kerana rakyat berhak mengetahui kandungannya.
Kerajaan sebelum ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menubuhkan RCI susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 dan 8 Oktober 2021.
RCI itu ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu yang berbangkit berkaitan TH.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika menjawab soalan di Dewan Negara semalam memaklumkan, penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.
Beliau berkata, Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun itu.
Katanya, keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.