
IPOH, 21 Julai – Kerajaan perlu mengutamakan pelaburan dalam kemudahan kebersihan dan sanitasi bagi melindungi kesihatan awam serta kesejahteraan rakyat, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
- Pelaburan dalam kemudahan kebersihan dan sanitasi mesti diperkukuh kerana boleh menyelamatkan nyawa.
- Kesihatan awam tanggungjawab bersama; tabiat kebersihan perlu dipupuk sejak usia muda.
- Komitmen kerajaan terhadap kesihatan awam mencerminkan penghargaan kepada nyawa; akses asas mesti adil tanpa mengira latar belakang.
Baginda bertitah, pelaburan dalam kemudahan asas itu tidak wajar ditangguhkan kerana mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa berbanding kebanyakan bentuk perbelanjaan awam yang lain.
Baginda bertitah, kesihatan awam ialah tanggungjawab bersama yang perlu disokong dengan amalan kebersihan dipupuk sejak usia muda.
“Pandemik, pencemaran sumber air dan penularan penyakit yang boleh dicegah tidak memilih mangsa. Apabila perlindungan asas diabaikan, golongan miskin dan terpinggir adalah yang paling terdedah.
“Justeru, komitmen kerajaan terhadap kesihatan awam mencerminkan sejauh mana setiap nyawa rakyat dihargai tanpa mengira latar belakang,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) Ke-8 bertemakan Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan dalam Islam di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini hari ini.
Baginda turut bertitah, pandemik COVID-19 membuktikan keupayaan kerajaan menyelaras tindakan, berkomunikasi secara telus dan menggerakkan sumber dengan pantas merupakan antara penanda aras utama tadbir urus yang berkesan.
Sehubungan itu, baginda menyeru supaya pelaburan dalam kesihatan awam terus diperkukuh bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses yang adil kepada kemudahan asas tanpa mengira lokasi atau latar belakang.