
PETALING JAYA, 18 Julai – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyaksikan pementasan Teater Muzikal Diraja Raja Lumu di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
- Pementasan dianjurkan sempena ulang tahun ke-25 pemerintahan Sultan Selangor dan ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya.
- Teater muzikal mengangkat perjuangan Raja Lumu sebagai pengasas Kesultanan Selangor melalui lakonan, muzik, tarian dan teknologi pentas.
- MBPJ tekankan pementasan sebagai medium pendidikan budaya, memupuk penghargaan sejarah dan memelihara warisan seni untuk generasi muda.
Pementasan yang berlangsung dari 17 hingga 19 Julai itu dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-25 pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, serta ulang tahun ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya.
Teater berkenaan mengangkat kisah perjuangan Raja Lumu sebagai pengasas Kesultanan Selangor menerusi gabungan seni lakonan, muzik, tarian, multimedia serta teknologi pentas.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, pementasan itu bukan sekadar persembahan seni, sebaliknya menjadi medium untuk mendekatkan masyarakat dengan sejarah serta memupuk penghargaan terhadap warisan budaya, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurut beliau, seni bukan sahaja berperanan sebagai medium hiburan, malah menjadi wahana pendidikan, perpaduan sosial, pembentukan sahsiah serta pemeliharaan identiti budaya.
Naskhah Raja Lumu memaparkan kisah kebangkitan pengasas Kesultanan Selangor pada abad ke-18, selain mengetengahkan nilai sejarah, budaya dan politik Melayu menerusi pendekatan teater muzikal kontemporari.
Pementasan itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Fiza Thomas, Taqim Zaki, D’Boy Hamdan, Hans Shahrezza dan Abdul Mutalif.
MBPJ berharap pementasan Teater Muzikal Diraja Raja Lumu dapat memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap sejarah Kesultanan Selangor, sekali gus menyemarakkan usaha memelihara warisan seni dan budaya negara.